Nick

Nick

Monday, February 7, 2011

CARA TERBAIK UNTUK BERHENTI MEROKOK.

  1. Jika rakan anda merokok dan anda tidak mahu merokok, memang sukar untuk mengatakan "Tidak". Yang penting gunakan hak anda.
  2. Utamakan kesihatan anda walaupun tiada sesiapa yang ingin disisihkan.
  3. Strategi yang berlainan mungkin sesuai untuk orang yang berlainan
  4. Ada orang berasa mudah menyatakan "Tidak" tanpa memberikan penjelasan. Ada juga yang mengatakan alasan yang lebih baik seperti "Saya tak nak merokok"atau "Datuk saya mati kerana rokok".
  5. Jika anda tidak selesa untuk berkata "Tidak" kepada rakan, minta ibu bapa atau orang dewasa membantu anda mengatakannya.
  6. Jika anda remaja, katalah "Ayah saya tidak membenarkan saya merokok".
  7. Yang paling penting bertegaslah apabila berkata "Tidak" tanpa melukai perasaan orang lain.

Sumber: Dewan Siswa, Mac 2010

Tuesday, February 1, 2011

MASALAH PEMBUANGAN BAYI DALAM KALANGAN REMAJA

OLEH: MUHAMMAD NUR FAEZ HAZREQ, DBP SARAWAK


Malaysia adalah sebuah negara yang sedang membangun dan telah menempah nama di persada antarabangsa dalam pelbagai bidang khususnya sukan mahupun kemajuan sains dan teknologi. Malaysia dengan bangganya menuju ke alaf baru yang bertunjangkan sains dan teknologi, namun ada kalanya kita alpa dengan perkembangan sosial semasa malah ada dalam kalangan masyarakat yang tidak pernah mengambil peduli akan hal tersebut. Akibatnya, sering kali kita mendengar berita sedih yang melibatkan pembuangan bayi yang tidak berdosa. Mereka menjadi mangsa pembuangan kejam individu yang tidak bertanggungjawab. Hal ini demikian kerana masyarakat pada hari ini hanya mementingkan keseronokan semata-mata.

Anak merupakan anugerah paling berharga bagi setiap manusia yang telah berumah tangga. Namun krisis sosial yang melanda masyarakat telah menyaksikan banyak kes pembuangan bayi berlaku dalam ruang lingkup masyarakat kita pada hari ini. Kerana terlalu taksub mengejar kenikmatan hidup, ada dalam kalangan masyarakat di luar sana yang terjebak dengan perzinaan dan seks bebas sehingga mengandungkan anak luar nikah. Apabila menyedari perbuatan yang dilakukan salah, individu tidak bertanggungjawab ini mengambil jalan mudah menggugurkan kandungannya ataupun membuang bayi baik yang masih hidup atau mati di kawasan seperti tong sampah, parit, mangkuk tandas dan sebagainya.

Ironinya, kes pembuangan bayi tidak akan selesai dengan hanya menuding jari terhadap golongan pesalah. Menurut kebanyakan masyarakat, pergaulan bebas adalah punca kepada berlakunya kes pembuangan bayi. Tanggapan seperti itu harus dikikis bagi menangani masalah tersebut daripada terus berleluasa. Kita sepatutnya memberikan pandangan positif serta teguran yang membina kepada mereka dan bukannya menyalahkan mana-mana pihak. Sikap hanya berpeluk tubuh dan mengabaikan isu tersebut turut menjadi punca gejala pembuangan bayi semakin menjadi-jadi. Tidak kurang juga sikap suka menghukum turut menjadi penyumbang kepada berlakunya kes pembuangan bayi. Sebagai contoh, kita suka menyalahkan wanita yang mengandung tanpa suami. Kita sering kali menganggap mereka melakukan kesalahan tanpa menimbang keadaan yang semakin menjurus kemelut itu berlaku. Pemikiran masyarakat yang sedemikian menyebabkan remaja tidak mempunyai tempat untuk mengadu masalah mereka sehingga sanggup membiarkan anak mereka daripada dipandang jijik oleh masyarakat.

Arus kemodenan terutamanya melalui media massa telah menyemarakkan masalah ini. Program dari negara barai contohnya yang mengaitkan kebebasan dalam pergaulan telah menyebabkan remaja terpengaruh. Kehidupan moden sering dikaitkan dengan hubungan seksual bebas. Lantaran itu, masalah ini terus menerus menjadi suatu yang lumrah. Langkah yang perlu dilaksanakan oleh kita ialah menyediakan tempat perlindungan kepada remaja yang bermasalah seperti ini. Tempat perlindungan ini memberikan bantuan kaunseling dan penjagaan kepada remaja dan bayi sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil. Kewujudan rumah perlindungan ini memberi ruang kepada remaja untuk berfikir secara profesional menyelesaikan masalah mereka.

Jika kita lihat dari segi pemikiran, jelas menunjukkan bahawa pemikiran serta mentaliti individu yang melakukan perbuatan kejam membuang bayi adalah sangat rendah. Nilai negatif yang mereka miliki itu mencerminkan pemikiran serta daya intelek mereka yang masih berada di takuk lama tanpa sebarang kesedaran. Masyarakat juga melihat tanggungjawab menangani masalah pembuangan bayi adalah tanggungjawab pihak polis semat-mata. Tanggapan seperti itu adalah salah kerana dalam menangani masalah ini daripada terus berlaku adalah menjadi tanggungjawab bersama semua pihak. Di samping itu juga, ianya adalah menjadi tanggungjawab individu itu sendiri dalam menjaga disiplin dan nilai baik moral mereka. Perjuangan individu itu sendiri adalah amat penting untuk menjaga keselamatan masing-masing. Batas pergaulan antara satu sama lain individu haruslah dijaga bagi mengelakkan berlakunya sesuatu perkara yang di luar kawalan.

Paradigma masyarakat harus berubah dalam menangani masalah ini. Kita perlu mengikis sikap suka menghukum moral seseorang itu dengan terburu-buru tanpa mengambil kira keadaan yang dialami oleh remaja terbabit. Kita seharusnya menjadi tempat golongan remaja meluahkan masalah mereka dan bukannya tempat remaja melarikan diri mereka. Pandangan masyarakat yang berubah memberikan persepsi yang baik kepada remaja untuk berkongsi masalah mereka. Walaupun saban hari masyarakat disajikan dengan berita berkaitan pembuangan bayi, namun kita sebagai masyarakat yang prihatin harus berani menyahut seruan kerajaan untuk sama-sama membendung gejala pembuangan bayi dalam kalangan remaja daripada terus menular.

Kesimpulannya, masalah pembuangan bayi perlu dikaji semula secara telus. Semua pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikannya. Semua pihak wajib memikul  kesan yang timbul kerana kita mampu menghalang masalah ini daripada berterusan. Kita harus menerima masalah ini dan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.