Motivasi Pelajar
Nick
Sunday, April 24, 2011
Monday, February 7, 2011
CARA TERBAIK UNTUK BERHENTI MEROKOK.
Sumber: Dewan Siswa, Mac 2010
- Jika rakan anda merokok dan anda tidak mahu merokok, memang sukar untuk mengatakan "Tidak". Yang penting gunakan hak anda.
- Utamakan kesihatan anda walaupun tiada sesiapa yang ingin disisihkan.
- Strategi yang berlainan mungkin sesuai untuk orang yang berlainan
- Ada orang berasa mudah menyatakan "Tidak" tanpa memberikan penjelasan. Ada juga yang mengatakan alasan yang lebih baik seperti "Saya tak nak merokok"atau "Datuk saya mati kerana rokok".
- Jika anda tidak selesa untuk berkata "Tidak" kepada rakan, minta ibu bapa atau orang dewasa membantu anda mengatakannya.
- Jika anda remaja, katalah "Ayah saya tidak membenarkan saya merokok".
- Yang paling penting bertegaslah apabila berkata "Tidak" tanpa melukai perasaan orang lain.
Sumber: Dewan Siswa, Mac 2010
Tuesday, February 1, 2011
MASALAH PEMBUANGAN BAYI DALAM KALANGAN REMAJA
OLEH: MUHAMMAD NUR FAEZ HAZREQ, DBP SARAWAK
Malaysia adalah sebuah negara yang sedang membangun dan telah menempah nama di persada antarabangsa dalam pelbagai bidang khususnya sukan mahupun kemajuan sains dan teknologi. Malaysia dengan bangganya menuju ke alaf baru yang bertunjangkan sains dan teknologi, namun ada kalanya kita alpa dengan perkembangan sosial semasa malah ada dalam kalangan masyarakat yang tidak pernah mengambil peduli akan hal tersebut. Akibatnya, sering kali kita mendengar berita sedih yang melibatkan pembuangan bayi yang tidak berdosa. Mereka menjadi mangsa pembuangan kejam individu yang tidak bertanggungjawab. Hal ini demikian kerana masyarakat pada hari ini hanya mementingkan keseronokan semata-mata.
Anak merupakan anugerah paling berharga bagi setiap manusia yang telah berumah tangga. Namun krisis sosial yang melanda masyarakat telah menyaksikan banyak kes pembuangan bayi berlaku dalam ruang lingkup masyarakat kita pada hari ini. Kerana terlalu taksub mengejar kenikmatan hidup, ada dalam kalangan masyarakat di luar sana yang terjebak dengan perzinaan dan seks bebas sehingga mengandungkan anak luar nikah. Apabila menyedari perbuatan yang dilakukan salah, individu tidak bertanggungjawab ini mengambil jalan mudah menggugurkan kandungannya ataupun membuang bayi baik yang masih hidup atau mati di kawasan seperti tong sampah, parit, mangkuk tandas dan sebagainya.
Ironinya, kes pembuangan bayi tidak akan selesai dengan hanya menuding jari terhadap golongan pesalah. Menurut kebanyakan masyarakat, pergaulan bebas adalah punca kepada berlakunya kes pembuangan bayi. Tanggapan seperti itu harus dikikis bagi menangani masalah tersebut daripada terus berleluasa. Kita sepatutnya memberikan pandangan positif serta teguran yang membina kepada mereka dan bukannya menyalahkan mana-mana pihak. Sikap hanya berpeluk tubuh dan mengabaikan isu tersebut turut menjadi punca gejala pembuangan bayi semakin menjadi-jadi. Tidak kurang juga sikap suka menghukum turut menjadi penyumbang kepada berlakunya kes pembuangan bayi. Sebagai contoh, kita suka menyalahkan wanita yang mengandung tanpa suami. Kita sering kali menganggap mereka melakukan kesalahan tanpa menimbang keadaan yang semakin menjurus kemelut itu berlaku. Pemikiran masyarakat yang sedemikian menyebabkan remaja tidak mempunyai tempat untuk mengadu masalah mereka sehingga sanggup membiarkan anak mereka daripada dipandang jijik oleh masyarakat.
Arus kemodenan terutamanya melalui media massa telah menyemarakkan masalah ini. Program dari negara barai contohnya yang mengaitkan kebebasan dalam pergaulan telah menyebabkan remaja terpengaruh. Kehidupan moden sering dikaitkan dengan hubungan seksual bebas. Lantaran itu, masalah ini terus menerus menjadi suatu yang lumrah. Langkah yang perlu dilaksanakan oleh kita ialah menyediakan tempat perlindungan kepada remaja yang bermasalah seperti ini. Tempat perlindungan ini memberikan bantuan kaunseling dan penjagaan kepada remaja dan bayi sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil. Kewujudan rumah perlindungan ini memberi ruang kepada remaja untuk berfikir secara profesional menyelesaikan masalah mereka.
Jika kita lihat dari segi pemikiran, jelas menunjukkan bahawa pemikiran serta mentaliti individu yang melakukan perbuatan kejam membuang bayi adalah sangat rendah. Nilai negatif yang mereka miliki itu mencerminkan pemikiran serta daya intelek mereka yang masih berada di takuk lama tanpa sebarang kesedaran. Masyarakat juga melihat tanggungjawab menangani masalah pembuangan bayi adalah tanggungjawab pihak polis semat-mata. Tanggapan seperti itu adalah salah kerana dalam menangani masalah ini daripada terus berlaku adalah menjadi tanggungjawab bersama semua pihak. Di samping itu juga, ianya adalah menjadi tanggungjawab individu itu sendiri dalam menjaga disiplin dan nilai baik moral mereka. Perjuangan individu itu sendiri adalah amat penting untuk menjaga keselamatan masing-masing. Batas pergaulan antara satu sama lain individu haruslah dijaga bagi mengelakkan berlakunya sesuatu perkara yang di luar kawalan.
Paradigma masyarakat harus berubah dalam menangani masalah ini. Kita perlu mengikis sikap suka menghukum moral seseorang itu dengan terburu-buru tanpa mengambil kira keadaan yang dialami oleh remaja terbabit. Kita seharusnya menjadi tempat golongan remaja meluahkan masalah mereka dan bukannya tempat remaja melarikan diri mereka. Pandangan masyarakat yang berubah memberikan persepsi yang baik kepada remaja untuk berkongsi masalah mereka. Walaupun saban hari masyarakat disajikan dengan berita berkaitan pembuangan bayi, namun kita sebagai masyarakat yang prihatin harus berani menyahut seruan kerajaan untuk sama-sama membendung gejala pembuangan bayi dalam kalangan remaja daripada terus menular.
Kesimpulannya, masalah pembuangan bayi perlu dikaji semula secara telus. Semua pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikannya. Semua pihak wajib memikul kesan yang timbul kerana kita mampu menghalang masalah ini daripada berterusan. Kita harus menerima masalah ini dan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.
Monday, January 31, 2011
BENARKAH REMAJA BERUSIA 15-18 TAHUN BERSIKAP “CRAZY THINKING?”
OLEH: NIXCKSON NINGKAN, DBP SARAWAK
Secara umumnya, ramai dalam kalangan masyarakat kita yang tidak mengetahui bahawa golongan remaja yang berusia dalam lingkungan umur 15 hingga 18 tahun memiliki tingkah laku yang agak berlainan. Hal ini demikian kerana anak-anak remaja yang tergolong dalam golongan tersebut mempunyai perasaan angkuh serta ego yang tinggi terhadap diri sendiri. “Crazy Thinking” dapat didefinisikan sebagai cara berfikir segelintir individu yang kelihatan gila-gila serta tidak masuk akal. Dalam erti kata lain tingkah laku remaja terbabit berlainan dan bertentangan dengan norma-norma yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat. Remaja sering dikaitkan dengan pelbagai tingkah laku melampaui batas logik pemikiran masyarakat.
Sikap remaja yang terlalu mementingkan keseronokan semata-mata adalah merupakan antara perbuatan atau pemikiran yang sering kali membawa golongan tersebut ke kancah masalah disiplin. Banyak perbuatan negatif yang kerap kali kita lihat dilakukan oleh remaja tidak kira remaja lelaki atau perempuan. Antara perbuatan negatif itu adalah merokok, penyalahgunaan dadah, minum minuman keras, ponteng sekolah, bergaduh dan sebagainya. Keseronokan dan hiburan sentiasa menjadi keutamaan anak-anak remaja masa kini. Tanpa hiburan maka tidak tenanglah hidup remaja berkenaan.
Sehingga kini, kebanyakan kes disiplin yang menjadi perhatian ramai ialah masalah pembuangan bayi dalam kalangan remaja. Masalah tersebut dilihat semakin menular dalam kalangan masyarakat kita sejak kebelakangan ini. Paling menyedihkan, terdapat ramai anak-anak remaja yang terlibat dalam masalah ini. Remaja perempuan melahirkan anak luar nikah dan membuang bayi merata tempat sering kali kita dengar melalui dada akhbar mahupun media massa. Perbuatan terkutuk, hina dan keji ini harus dibendung penularannya. Dari mana punca dan siapa yang melakukannya harus di ambil kira untuk menunjukkan keprihatinan kita sebagai masyarakat yang hidup berbilang kaum. Anak-anak remaja kita harus diawasi setiap masa.
Cara berfikir remaja juga dilihat satu perkara yang tidak boleh diabaikan kerana pemikiran remaja semakin teruk saban hari. Sikap sesetengah remaja yang kurang mendapat perhatian ibu bapa akan menyebabkan mereka lebih cenderung untuk menumpukan kehidupan mereka dalam mencari keseronokan demi menikmati suasana hidup yang kononnya tenang dan bebas. Apabila golongan remaja ini menikmati keseronokan tanpa mengambil peduli batas agama maka secara tidak langsung keutamaan hidup mereka telah songsang. Mana-mana agama dan kepercayaan menyarankan penganutnya supaya mengutamakan aspek agama dalam hidup.
Selain itu, golongan remaja yang terlalu leka dibuai keseronokan duniawi tanpa mereka sedar telah bertindak mengambil jalan untuk melarikan diri daripada kehidupan sebenar. Hal ini demikian kerana remaja yang terlalu taksub menikmati keseronokan akan turut mengubah cara hidup mereka kepada kehidupan yang bertentangan dengan norma masyarakat, iaitu tidak terurus serta tidak mempunyai matlamat diri yang sebenar. Sebaliknya mereka hanya mementingkan masa dan usia bersama rakan-rakan dalam mengejar keseronokan dunia. Hal ini seolah-olah menyebabkan tidak ada jalan penyelesaian kepada masalah mereka.
Walau bagaimanapun, terdapat langkah drastik yang boleh diambil masyarakat khususnya ibu bapa dalam mendidik anak-anak remaja supaya tidak terjebak dengan masalah disiplin “crazy thinking”. Antaranya ialah sentiasa mengawasi tingkah laku anak-anak pada setiap masa. Sikap mengambil berat terhadap keperluan anak-anak juga membantu menghilangkan perasaan negatif mereka terhadap ibu bapa. Mereka akan rasa lebih disayangi sekiranya kasih sayang serta keprihatinan ibu bapa tidak pernah putus buat mereka. Lakukan aktiviti sihat bersama keluarga sebagai contoh membawa ahli keluarga keluar bersiar menikmati suasana luar sekali gus mendedahkan anak-anak kepada sosial sihat masyarakat. Cara ini dinamakan cara paling sesuai untuk membentuk akhlak anak-anak agar pantas berfikir serta cekap bertindak.
Kesimpulannya, golongan remaja sememangnya golongan yang dahagakan pembaharuan serta keseronokan duniawi dalam diri. Mereka memerlukan persekitaran masyarakat yang memahami kehendak dan minat mereka. Remaja yang suka kepada kehidupan bebas akan sentiasa mencari kebebasan tersebut demi untuk memuaskan diri. Sekiranya keperluan ini tidak dapat ditemui, maka akan berlakulah tingkah laku buruk dalam kalangan anak-anak remaja.
Sunday, January 30, 2011
PILIH HIBURAN YANG POSITIF
OLEH: NIXCKSON NINGKAN, DBP SARAWAK
Golongan pelajar pada masa kini memerlukan hiburan untuk menikmati usia kehidupan. Sebagai contoh, kanak-kanak mempunyai minat menonton cerita kartun, orang dewasa pula lebih cenderung untuk memilih hiburan yang sesuai dengan usia mereka. Bagaimana pula dengan golongan remaja atau pelajar sekolah? Ironinya, mereka mempunyai jenis minat yang tersendiri.
Perbezaan minat yang ketara dalam kalangan remaja meletakkan pelbagai persepsi dalam masyarakat terhadap golongan remaja. Tidak dinafikan bahawa remaja lebih cenderung serta memiliki minat yang sangat tinggi terhadap hiburan yang berbentuk keseronokan atau hiburan semata-mata. Lebih teruk lagi mereka mengagung-agungkan hiburan dari dunia Barat. Tidak kisahlah hiburan mana menjadi pilihan anak-anak remaja kita, yang penting mereka menjadikan hiburan itu sebagai sesuatu yang positif dalam diri mereka.
Hiburan yang memiliki kualiti tinggi terdapat di mana-mana. Sebagai seorang remaja khususnya pelajar sekolah harus bijak dalam menentukan jenis hiburan. Elok sekiranya remaja sekolah memilih hiburan yang berfaedah seperti membaca, bersukan ataupun melakukan sesuatu yang baru. Ramai dalam kalangan masyarakat yang beranggapan bahawa hiburan hanya fokus kepada muzik sahaja. Masyarakat yang beranggapan seperti itu adalah silap. Hal ini kerana hiburan bukan sahaja sekadar muzik malah pengertian hiburan sangat luas dalam ruang lingkup masyarakat masa kini.
Bagi seorang remaja sekolah, aktiviti seperti melibatkan diri dengan kegiatan di sekolah juga dikenali sebagai hiburan. Aktiviti seperti mengadakan motivasi, program pendidikan dan ceramah juga banyak memberikan faedah berbanding aktiviti lain. Pada masa yang sama mereka dapat meningkatkan keyakinan diri dalam memimpin generasi akan datang. Kesemua budaya baik tersebut merupakan satu budaya yang positif untuk berhibur.
Remaja sekolah merupakan golongan masyarakat yang sentiasa mencari hiburan serta identiti diri. Menyentuh mengenai budaya remaja masa kini, mereka sering kali dilihat cuba untuk melakukan sesuatu yang baru sesuai dengan kehendak dan perasaan mereka. Untuk berhibur terdapat banyak cara yang boleh remaja sekolah amalkan. Sebagai seorang pelajar, mereka harus bijak menentukan serta mencari jenis hiburan yang sesuai. Bersukan adalah bentuk hiburan yang paling sesuai untuk golongan remaja sekolah. Melalui aktiviti sukan, minda serta pemikiran remaja dapat dibentuk menjadi seorang yang tabah. Otak yang cerdas dan badan yang sihat adalah punca kepada kejayaan.
Oleh itu, golongan remaja harus tahu baik dan buruk bentuk hiburan yang mereka inginkan.. Elakkan daripada memilih hiburan yang salah dan jangan terlalu berhibur sehingga mengetepikan batasan yang ditetapkan oleh agama.
SEDARLAH ADIK KU
Lihat adik ku
Hidup ku mengeluh
Lena dibuai kisah diri mu
Setiap malam tidur tak lena
Duduk termenung di sudut sofa
Memikir jauh masa depan serta nasib mu
Dari mana dan macam mana
Sehingga kini
Jawapan pasti masih tidak ku temui
Lihat adik ku
Hati ku meronta-ronta
Jiwa tertekan mencari bahagia
Dalam meniti hari
Semangat ku terasa kehilangannya
Bukan aku tak cukup kuat menghadapinya
Tapi aku hanya manusia biasa
Lemah tidak terkata
Tidak mampu mengharungi semua
Aku hanya berserah dan berdoa
Kepada Nya yang maha kuasa
NIXCKSON NINGKAN
DBP CAWANGAN SARAWAK
BUDAYA MENASIHATI MELAHIRKAN MASYARAKAT MINDA KELAS PERTAMA
Oleh: Nixckson Ningkan
Dewasa ini, budaya menasihati antara satu sama lain semakin pupus di muka bumi. Kewujudannya semakin sukar untuk kita lihat dalam kalangan masyarakat. Kebanyakan masyarakat lebih mementingkan urusan yang berkaitan dengan kepentingan diri sendiri khususnya duniawi dan materialistik. Kedua-dua aspek ini pastinya mendatangkan banyak keburukan kepada masyarakat berbanding kebaikan. Hakikatnya apabila manusia tidak mengamalkan nilai menasihati maka masyarakat akan hidup dalam keadaan kucar-kacir, keliru, leka dan mementingkan hawa nafsu semata-mata.
Secara umumnya budaya menasihati adalah satu amalan yang baik untuk membentuk individu berguna di samping mengingatkan mereka daripada melakukan kesilapan. Sungguhpun pada amnya manusia memang tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan, namun ianya bukanlah satu alasan untuk kita menidakkan hubungan silaturahim antara masyarakat berbilang latar belakang. Amalan menasihati harus dimiliki untuk merealisasikan impian melahirkan masyarakat minda kelas pertama. Apabila amalan ini diamalkan, sudah pasti akan membuahkan suasana kemesraan dan mewujudkan sikap saling menghormati. Perpecahan antara masyarakat tidak akan berlaku dengan adanya sikap baik ini.
Kejayaan ramai anak-anak muda dalam bidang akademik mahupun bidang kokurikulum adalah hasil daripada peranan budaya menasihati dalam kalangan masyarakat terutamanya ibu bapa dan guru. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dalam membentuk anak-anak yang berfikiran intelek serta kreatif dalam berfikir. Budaya menasihati juga mampu membentuk peribadi anak-anak menjadi insan yang mampu bersaing dengan masyarakat lain secara positif. Kejayaan akan menyusul melalui usaha murni mendisiplinkan diri di samping merendahkan diri di dalam segala perkara. Sikap merendah diri adalah kunci kepada kejayaan.
Kita juga dituntut supaya menerima nasihat dengan ikhlas. Disiplin yang tinggi ketika mendengar nasihat adalah menjadi sandaran utama dalam merealisasikan matlamat melahirkan masyarakat minda kelas pertama. Ramai dalam kalangan masyarakat yang memiliki pendidikan pelbagai taraf, namun mereka tidak memiliki nilai menasihati dan kebanyakan mereka bersikap sombong serta angkuh. Sikap yang hanya menutup mata melihat masalah orang lain jelas akan mendatangkan kerugian kepada diri sendiri. Kita harus membantu setiap individu yang memerlukan apa jua bentuk pertolongan bukan sahaja melalui bentuk nasihat malah sokongan moral juga turut penting peranannya.
Kita di nasihatkan supaya memberikan nasihat dengan hati yang jujur dan ikhlas. Biarlah nasihat yang diberikan kepada mereka yang memerlukan sesuatu yang berkualiti dan mempunyai nilai positif logiknya. Paling penting ketika memberi nasihat, kita harus menyediakan diri dengan segala ilmu serta pengalaman yang kita miliki supaya mesej dalam nasihat yang hendak disampaikan betul-betul sesuai dan berkesan.
Jangan sesekali pernah merasa rugi dengan usaha murni kita menasihati mana-mana individu. Setiap kata nasihat yang kita ungkapkan akan membawa peluang kepada individu yang kita bantu untuk mencapai kejayaan. Semakin kita peka kepada mereka semakin besar peluang untuk mereka mengubah dan membetulkan kesilapan yang telah lakukan. Kemodenan serta pembangunan negara pada masa kini menjadi halangan utama kepada masyarakat. Hal ini kerana bilangan masyarakat yang memiliki minda kelas pertama masih kurang. Kemahiran berfikir serta ilmu pengetahuan semakin dituntut ekoran daripada kemajuan negara. Semakin besar tanggungjawab masyarakat untuk meletakkan diri mereka di dalam kelompok negara maju.
Justeru, anak-anak muda khususnya para pelajar harus berani menyahut cabaran. Disiplinkan diri dalam segala aspek, menghormati orang tua, guru dan rakan-rakan adalah punca kepada kejayaan. Oleh itu, kikis segala sikap buruk, lihat sekeliling dan mengorak langkah bersama mereka yang telah berjaya menjadi pelajar kelas pertama. Ramai individu berjaya yang boleh dijadikan sebagai contoh. Maka dengan itu, jadilah anak saling mendengar nasihat dan menasihati.
Subscribe to:
Posts (Atom)