BENARKAH REMAJA BERUSIA 15-18 TAHUN BERSIKAP “CRAZY THINKING?”
OLEH: NIXCKSON NINGKAN, DBP SARAWAK
Secara umumnya, ramai dalam kalangan masyarakat kita yang tidak mengetahui bahawa golongan remaja yang berusia dalam lingkungan umur 15 hingga 18 tahun memiliki tingkah laku yang agak berlainan. Hal ini demikian kerana anak-anak remaja yang tergolong dalam golongan tersebut mempunyai perasaan angkuh serta ego yang tinggi terhadap diri sendiri. “Crazy Thinking” dapat didefinisikan sebagai cara berfikir segelintir individu yang kelihatan gila-gila serta tidak masuk akal. Dalam erti kata lain tingkah laku remaja terbabit berlainan dan bertentangan dengan norma-norma yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat. Remaja sering dikaitkan dengan pelbagai tingkah laku melampaui batas logik pemikiran masyarakat.
Sikap remaja yang terlalu mementingkan keseronokan semata-mata adalah merupakan antara perbuatan atau pemikiran yang sering kali membawa golongan tersebut ke kancah masalah disiplin. Banyak perbuatan negatif yang kerap kali kita lihat dilakukan oleh remaja tidak kira remaja lelaki atau perempuan. Antara perbuatan negatif itu adalah merokok, penyalahgunaan dadah, minum minuman keras, ponteng sekolah, bergaduh dan sebagainya. Keseronokan dan hiburan sentiasa menjadi keutamaan anak-anak remaja masa kini. Tanpa hiburan maka tidak tenanglah hidup remaja berkenaan.
Sehingga kini, kebanyakan kes disiplin yang menjadi perhatian ramai ialah masalah pembuangan bayi dalam kalangan remaja. Masalah tersebut dilihat semakin menular dalam kalangan masyarakat kita sejak kebelakangan ini. Paling menyedihkan, terdapat ramai anak-anak remaja yang terlibat dalam masalah ini. Remaja perempuan melahirkan anak luar nikah dan membuang bayi merata tempat sering kali kita dengar melalui dada akhbar mahupun media massa. Perbuatan terkutuk, hina dan keji ini harus dibendung penularannya. Dari mana punca dan siapa yang melakukannya harus di ambil kira untuk menunjukkan keprihatinan kita sebagai masyarakat yang hidup berbilang kaum. Anak-anak remaja kita harus diawasi setiap masa.
Cara berfikir remaja juga dilihat satu perkara yang tidak boleh diabaikan kerana pemikiran remaja semakin teruk saban hari. Sikap sesetengah remaja yang kurang mendapat perhatian ibu bapa akan menyebabkan mereka lebih cenderung untuk menumpukan kehidupan mereka dalam mencari keseronokan demi menikmati suasana hidup yang kononnya tenang dan bebas. Apabila golongan remaja ini menikmati keseronokan tanpa mengambil peduli batas agama maka secara tidak langsung keutamaan hidup mereka telah songsang. Mana-mana agama dan kepercayaan menyarankan penganutnya supaya mengutamakan aspek agama dalam hidup.
Selain itu, golongan remaja yang terlalu leka dibuai keseronokan duniawi tanpa mereka sedar telah bertindak mengambil jalan untuk melarikan diri daripada kehidupan sebenar. Hal ini demikian kerana remaja yang terlalu taksub menikmati keseronokan akan turut mengubah cara hidup mereka kepada kehidupan yang bertentangan dengan norma masyarakat, iaitu tidak terurus serta tidak mempunyai matlamat diri yang sebenar. Sebaliknya mereka hanya mementingkan masa dan usia bersama rakan-rakan dalam mengejar keseronokan dunia. Hal ini seolah-olah menyebabkan tidak ada jalan penyelesaian kepada masalah mereka.
Walau bagaimanapun, terdapat langkah drastik yang boleh diambil masyarakat khususnya ibu bapa dalam mendidik anak-anak remaja supaya tidak terjebak dengan masalah disiplin “crazy thinking”. Antaranya ialah sentiasa mengawasi tingkah laku anak-anak pada setiap masa. Sikap mengambil berat terhadap keperluan anak-anak juga membantu menghilangkan perasaan negatif mereka terhadap ibu bapa. Mereka akan rasa lebih disayangi sekiranya kasih sayang serta keprihatinan ibu bapa tidak pernah putus buat mereka. Lakukan aktiviti sihat bersama keluarga sebagai contoh membawa ahli keluarga keluar bersiar menikmati suasana luar sekali gus mendedahkan anak-anak kepada sosial sihat masyarakat. Cara ini dinamakan cara paling sesuai untuk membentuk akhlak anak-anak agar pantas berfikir serta cekap bertindak.
Kesimpulannya, golongan remaja sememangnya golongan yang dahagakan pembaharuan serta keseronokan duniawi dalam diri. Mereka memerlukan persekitaran masyarakat yang memahami kehendak dan minat mereka. Remaja yang suka kepada kehidupan bebas akan sentiasa mencari kebebasan tersebut demi untuk memuaskan diri. Sekiranya keperluan ini tidak dapat ditemui, maka akan berlakulah tingkah laku buruk dalam kalangan anak-anak remaja.
Bahaya meruncing bila remaja macam ni bertembung dengan globalisasi. Lagi bahaya bila di biarkan
ReplyDeleteEya.sangat bahaya. Tu la kadang2 kita yg mmiliki kmampuan berfikir scr matang harus membimbing mereka yg masih berusia muda.
ReplyDelete