BUDAYA MENASIHATI MELAHIRKAN MASYARAKAT MINDA KELAS PERTAMA
Oleh: Nixckson Ningkan
Dewasa ini, budaya menasihati antara satu sama lain semakin pupus di muka bumi. Kewujudannya semakin sukar untuk kita lihat dalam kalangan masyarakat. Kebanyakan masyarakat lebih mementingkan urusan yang berkaitan dengan kepentingan diri sendiri khususnya duniawi dan materialistik. Kedua-dua aspek ini pastinya mendatangkan banyak keburukan kepada masyarakat berbanding kebaikan. Hakikatnya apabila manusia tidak mengamalkan nilai menasihati maka masyarakat akan hidup dalam keadaan kucar-kacir, keliru, leka dan mementingkan hawa nafsu semata-mata.
Secara umumnya budaya menasihati adalah satu amalan yang baik untuk membentuk individu berguna di samping mengingatkan mereka daripada melakukan kesilapan. Sungguhpun pada amnya manusia memang tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan, namun ianya bukanlah satu alasan untuk kita menidakkan hubungan silaturahim antara masyarakat berbilang latar belakang. Amalan menasihati harus dimiliki untuk merealisasikan impian melahirkan masyarakat minda kelas pertama. Apabila amalan ini diamalkan, sudah pasti akan membuahkan suasana kemesraan dan mewujudkan sikap saling menghormati. Perpecahan antara masyarakat tidak akan berlaku dengan adanya sikap baik ini.
Kejayaan ramai anak-anak muda dalam bidang akademik mahupun bidang kokurikulum adalah hasil daripada peranan budaya menasihati dalam kalangan masyarakat terutamanya ibu bapa dan guru. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dalam membentuk anak-anak yang berfikiran intelek serta kreatif dalam berfikir. Budaya menasihati juga mampu membentuk peribadi anak-anak menjadi insan yang mampu bersaing dengan masyarakat lain secara positif. Kejayaan akan menyusul melalui usaha murni mendisiplinkan diri di samping merendahkan diri di dalam segala perkara. Sikap merendah diri adalah kunci kepada kejayaan.
Kita juga dituntut supaya menerima nasihat dengan ikhlas. Disiplin yang tinggi ketika mendengar nasihat adalah menjadi sandaran utama dalam merealisasikan matlamat melahirkan masyarakat minda kelas pertama. Ramai dalam kalangan masyarakat yang memiliki pendidikan pelbagai taraf, namun mereka tidak memiliki nilai menasihati dan kebanyakan mereka bersikap sombong serta angkuh. Sikap yang hanya menutup mata melihat masalah orang lain jelas akan mendatangkan kerugian kepada diri sendiri. Kita harus membantu setiap individu yang memerlukan apa jua bentuk pertolongan bukan sahaja melalui bentuk nasihat malah sokongan moral juga turut penting peranannya.
Kita di nasihatkan supaya memberikan nasihat dengan hati yang jujur dan ikhlas. Biarlah nasihat yang diberikan kepada mereka yang memerlukan sesuatu yang berkualiti dan mempunyai nilai positif logiknya. Paling penting ketika memberi nasihat, kita harus menyediakan diri dengan segala ilmu serta pengalaman yang kita miliki supaya mesej dalam nasihat yang hendak disampaikan betul-betul sesuai dan berkesan.
Jangan sesekali pernah merasa rugi dengan usaha murni kita menasihati mana-mana individu. Setiap kata nasihat yang kita ungkapkan akan membawa peluang kepada individu yang kita bantu untuk mencapai kejayaan. Semakin kita peka kepada mereka semakin besar peluang untuk mereka mengubah dan membetulkan kesilapan yang telah lakukan. Kemodenan serta pembangunan negara pada masa kini menjadi halangan utama kepada masyarakat. Hal ini kerana bilangan masyarakat yang memiliki minda kelas pertama masih kurang. Kemahiran berfikir serta ilmu pengetahuan semakin dituntut ekoran daripada kemajuan negara. Semakin besar tanggungjawab masyarakat untuk meletakkan diri mereka di dalam kelompok negara maju.
Justeru, anak-anak muda khususnya para pelajar harus berani menyahut cabaran. Disiplinkan diri dalam segala aspek, menghormati orang tua, guru dan rakan-rakan adalah punca kepada kejayaan. Oleh itu, kikis segala sikap buruk, lihat sekeliling dan mengorak langkah bersama mereka yang telah berjaya menjadi pelajar kelas pertama. Ramai individu berjaya yang boleh dijadikan sebagai contoh. Maka dengan itu, jadilah anak saling mendengar nasihat dan menasihati.
menasihati orang tu perlu ada keyakinan...
ReplyDeletebagaimana mau jadi seorang penasihat yang baik??
ReplyDeleteANN: Harus ada keyakinan diri yg tinggi, pastikan juga setiap kata yg kita sampikan disertakan dengan bukti dan contoh mudah yg boleh di fahami oleh mereka yg dinasihat. Paling penting siapkan diri dengan ilmu pengetahuan terlebih dahulu sebelum menasihati org utk menambahkan keyakinan kepada individu yg kita nasihati.
ReplyDelete