Nick

Nick

Sunday, January 30, 2011

PILIH HIBURAN YANG POSITIF

OLEH: NIXCKSON NINGKAN, DBP SARAWAK

Golongan pelajar pada masa kini memerlukan hiburan untuk menikmati usia kehidupan. Sebagai contoh, kanak-kanak mempunyai minat menonton cerita kartun, orang dewasa pula lebih cenderung untuk memilih hiburan yang sesuai dengan usia mereka. Bagaimana pula dengan golongan remaja atau pelajar sekolah? Ironinya, mereka mempunyai jenis minat yang tersendiri.

Perbezaan minat yang ketara dalam kalangan remaja meletakkan pelbagai persepsi dalam masyarakat terhadap golongan remaja. Tidak dinafikan bahawa remaja lebih cenderung serta memiliki minat yang sangat tinggi terhadap hiburan yang berbentuk keseronokan atau hiburan semata-mata. Lebih teruk lagi mereka mengagung-agungkan hiburan dari dunia Barat. Tidak kisahlah hiburan mana menjadi pilihan anak-anak remaja kita, yang penting mereka menjadikan hiburan itu sebagai sesuatu yang  positif dalam diri mereka.

Hiburan yang memiliki kualiti tinggi terdapat di mana-mana. Sebagai seorang remaja khususnya pelajar sekolah harus bijak dalam menentukan jenis hiburan. Elok sekiranya remaja sekolah memilih hiburan yang berfaedah seperti membaca, bersukan ataupun melakukan sesuatu yang baru. Ramai dalam kalangan masyarakat yang beranggapan bahawa hiburan hanya fokus kepada muzik sahaja.  Masyarakat yang beranggapan seperti itu adalah silap. Hal ini kerana hiburan bukan sahaja sekadar muzik malah pengertian hiburan sangat luas dalam ruang lingkup masyarakat masa kini.

Bagi seorang remaja sekolah, aktiviti seperti melibatkan diri dengan kegiatan di sekolah juga dikenali sebagai hiburan. Aktiviti seperti mengadakan motivasi, program pendidikan dan ceramah juga banyak memberikan faedah berbanding aktiviti lain. Pada masa yang sama mereka dapat meningkatkan keyakinan diri dalam memimpin generasi akan datang. Kesemua budaya baik tersebut merupakan satu budaya yang positif untuk berhibur.

Remaja sekolah merupakan golongan masyarakat yang sentiasa mencari hiburan serta identiti diri. Menyentuh mengenai budaya remaja masa kini, mereka sering kali dilihat cuba untuk melakukan sesuatu yang baru sesuai dengan kehendak dan perasaan mereka. Untuk berhibur terdapat banyak cara yang boleh remaja sekolah amalkan. Sebagai seorang pelajar, mereka harus bijak menentukan serta mencari jenis hiburan yang sesuai. Bersukan adalah bentuk hiburan yang paling sesuai untuk golongan remaja sekolah. Melalui aktiviti sukan, minda serta pemikiran remaja dapat dibentuk menjadi seorang yang tabah. Otak yang cerdas dan badan yang sihat adalah punca kepada kejayaan.

Oleh itu, golongan remaja harus tahu baik dan buruk bentuk hiburan yang mereka inginkan.. Elakkan daripada memilih hiburan yang salah dan jangan terlalu berhibur sehingga mengetepikan batasan yang ditetapkan oleh agama.

No comments:

Post a Comment