Nick

Nick

Sunday, April 24, 2011

Pergh..berkarat sudah blog saya ni. Berbulan-bulan dah tak jenguk dan tulis apa2 dlm blog ni...sorry guys, betul2 busy dengan latihan sukan dan kerja2 di pejabat. Will be back soon...

Monday, February 7, 2011

CARA TERBAIK UNTUK BERHENTI MEROKOK.

  1. Jika rakan anda merokok dan anda tidak mahu merokok, memang sukar untuk mengatakan "Tidak". Yang penting gunakan hak anda.
  2. Utamakan kesihatan anda walaupun tiada sesiapa yang ingin disisihkan.
  3. Strategi yang berlainan mungkin sesuai untuk orang yang berlainan
  4. Ada orang berasa mudah menyatakan "Tidak" tanpa memberikan penjelasan. Ada juga yang mengatakan alasan yang lebih baik seperti "Saya tak nak merokok"atau "Datuk saya mati kerana rokok".
  5. Jika anda tidak selesa untuk berkata "Tidak" kepada rakan, minta ibu bapa atau orang dewasa membantu anda mengatakannya.
  6. Jika anda remaja, katalah "Ayah saya tidak membenarkan saya merokok".
  7. Yang paling penting bertegaslah apabila berkata "Tidak" tanpa melukai perasaan orang lain.

Sumber: Dewan Siswa, Mac 2010

Tuesday, February 1, 2011

MASALAH PEMBUANGAN BAYI DALAM KALANGAN REMAJA

OLEH: MUHAMMAD NUR FAEZ HAZREQ, DBP SARAWAK


Malaysia adalah sebuah negara yang sedang membangun dan telah menempah nama di persada antarabangsa dalam pelbagai bidang khususnya sukan mahupun kemajuan sains dan teknologi. Malaysia dengan bangganya menuju ke alaf baru yang bertunjangkan sains dan teknologi, namun ada kalanya kita alpa dengan perkembangan sosial semasa malah ada dalam kalangan masyarakat yang tidak pernah mengambil peduli akan hal tersebut. Akibatnya, sering kali kita mendengar berita sedih yang melibatkan pembuangan bayi yang tidak berdosa. Mereka menjadi mangsa pembuangan kejam individu yang tidak bertanggungjawab. Hal ini demikian kerana masyarakat pada hari ini hanya mementingkan keseronokan semata-mata.

Anak merupakan anugerah paling berharga bagi setiap manusia yang telah berumah tangga. Namun krisis sosial yang melanda masyarakat telah menyaksikan banyak kes pembuangan bayi berlaku dalam ruang lingkup masyarakat kita pada hari ini. Kerana terlalu taksub mengejar kenikmatan hidup, ada dalam kalangan masyarakat di luar sana yang terjebak dengan perzinaan dan seks bebas sehingga mengandungkan anak luar nikah. Apabila menyedari perbuatan yang dilakukan salah, individu tidak bertanggungjawab ini mengambil jalan mudah menggugurkan kandungannya ataupun membuang bayi baik yang masih hidup atau mati di kawasan seperti tong sampah, parit, mangkuk tandas dan sebagainya.

Ironinya, kes pembuangan bayi tidak akan selesai dengan hanya menuding jari terhadap golongan pesalah. Menurut kebanyakan masyarakat, pergaulan bebas adalah punca kepada berlakunya kes pembuangan bayi. Tanggapan seperti itu harus dikikis bagi menangani masalah tersebut daripada terus berleluasa. Kita sepatutnya memberikan pandangan positif serta teguran yang membina kepada mereka dan bukannya menyalahkan mana-mana pihak. Sikap hanya berpeluk tubuh dan mengabaikan isu tersebut turut menjadi punca gejala pembuangan bayi semakin menjadi-jadi. Tidak kurang juga sikap suka menghukum turut menjadi penyumbang kepada berlakunya kes pembuangan bayi. Sebagai contoh, kita suka menyalahkan wanita yang mengandung tanpa suami. Kita sering kali menganggap mereka melakukan kesalahan tanpa menimbang keadaan yang semakin menjurus kemelut itu berlaku. Pemikiran masyarakat yang sedemikian menyebabkan remaja tidak mempunyai tempat untuk mengadu masalah mereka sehingga sanggup membiarkan anak mereka daripada dipandang jijik oleh masyarakat.

Arus kemodenan terutamanya melalui media massa telah menyemarakkan masalah ini. Program dari negara barai contohnya yang mengaitkan kebebasan dalam pergaulan telah menyebabkan remaja terpengaruh. Kehidupan moden sering dikaitkan dengan hubungan seksual bebas. Lantaran itu, masalah ini terus menerus menjadi suatu yang lumrah. Langkah yang perlu dilaksanakan oleh kita ialah menyediakan tempat perlindungan kepada remaja yang bermasalah seperti ini. Tempat perlindungan ini memberikan bantuan kaunseling dan penjagaan kepada remaja dan bayi sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil. Kewujudan rumah perlindungan ini memberi ruang kepada remaja untuk berfikir secara profesional menyelesaikan masalah mereka.

Jika kita lihat dari segi pemikiran, jelas menunjukkan bahawa pemikiran serta mentaliti individu yang melakukan perbuatan kejam membuang bayi adalah sangat rendah. Nilai negatif yang mereka miliki itu mencerminkan pemikiran serta daya intelek mereka yang masih berada di takuk lama tanpa sebarang kesedaran. Masyarakat juga melihat tanggungjawab menangani masalah pembuangan bayi adalah tanggungjawab pihak polis semat-mata. Tanggapan seperti itu adalah salah kerana dalam menangani masalah ini daripada terus berlaku adalah menjadi tanggungjawab bersama semua pihak. Di samping itu juga, ianya adalah menjadi tanggungjawab individu itu sendiri dalam menjaga disiplin dan nilai baik moral mereka. Perjuangan individu itu sendiri adalah amat penting untuk menjaga keselamatan masing-masing. Batas pergaulan antara satu sama lain individu haruslah dijaga bagi mengelakkan berlakunya sesuatu perkara yang di luar kawalan.

Paradigma masyarakat harus berubah dalam menangani masalah ini. Kita perlu mengikis sikap suka menghukum moral seseorang itu dengan terburu-buru tanpa mengambil kira keadaan yang dialami oleh remaja terbabit. Kita seharusnya menjadi tempat golongan remaja meluahkan masalah mereka dan bukannya tempat remaja melarikan diri mereka. Pandangan masyarakat yang berubah memberikan persepsi yang baik kepada remaja untuk berkongsi masalah mereka. Walaupun saban hari masyarakat disajikan dengan berita berkaitan pembuangan bayi, namun kita sebagai masyarakat yang prihatin harus berani menyahut seruan kerajaan untuk sama-sama membendung gejala pembuangan bayi dalam kalangan remaja daripada terus menular.

Kesimpulannya, masalah pembuangan bayi perlu dikaji semula secara telus. Semua pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikannya. Semua pihak wajib memikul  kesan yang timbul kerana kita mampu menghalang masalah ini daripada berterusan. Kita harus menerima masalah ini dan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.

Monday, January 31, 2011


BENARKAH REMAJA BERUSIA 15-18 TAHUN BERSIKAP “CRAZY THINKING?”

OLEH: NIXCKSON NINGKAN, DBP SARAWAK

Secara umumnya, ramai dalam kalangan masyarakat kita yang tidak mengetahui bahawa golongan remaja yang berusia dalam lingkungan umur 15 hingga 18 tahun memiliki tingkah laku yang agak berlainan. Hal ini demikian kerana anak-anak remaja yang tergolong dalam golongan tersebut mempunyai perasaan angkuh serta ego yang tinggi terhadap diri sendiri. “Crazy Thinking” dapat didefinisikan sebagai cara berfikir segelintir individu yang kelihatan gila-gila serta tidak masuk akal. Dalam erti kata lain tingkah laku remaja terbabit berlainan dan bertentangan dengan norma-norma yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat. Remaja sering dikaitkan dengan pelbagai tingkah laku melampaui batas logik pemikiran masyarakat.

Sikap remaja yang terlalu mementingkan keseronokan semata-mata adalah merupakan antara perbuatan atau pemikiran yang sering kali membawa golongan tersebut ke kancah masalah disiplin. Banyak perbuatan negatif yang kerap kali kita lihat dilakukan oleh remaja tidak kira remaja lelaki atau perempuan. Antara perbuatan negatif itu adalah merokok, penyalahgunaan dadah, minum minuman keras, ponteng sekolah, bergaduh dan sebagainya. Keseronokan dan hiburan sentiasa menjadi keutamaan anak-anak remaja masa kini. Tanpa hiburan maka tidak tenanglah hidup remaja berkenaan.

Sehingga kini, kebanyakan kes disiplin yang menjadi perhatian ramai ialah masalah pembuangan bayi dalam kalangan remaja. Masalah tersebut dilihat semakin menular dalam kalangan masyarakat kita sejak kebelakangan ini. Paling menyedihkan, terdapat ramai anak-anak remaja yang terlibat dalam masalah ini. Remaja perempuan melahirkan anak luar nikah dan membuang bayi merata tempat sering kali kita dengar melalui dada akhbar mahupun media massa. Perbuatan terkutuk, hina dan keji ini harus dibendung penularannya. Dari mana punca dan siapa yang melakukannya harus di ambil kira untuk menunjukkan keprihatinan kita sebagai masyarakat yang hidup berbilang kaum. Anak-anak remaja kita harus diawasi setiap masa.

Cara berfikir remaja juga dilihat satu perkara yang tidak boleh diabaikan kerana pemikiran remaja semakin teruk saban hari. Sikap sesetengah remaja yang kurang mendapat perhatian ibu bapa akan menyebabkan mereka lebih cenderung untuk menumpukan kehidupan mereka dalam mencari keseronokan demi menikmati suasana hidup yang kononnya tenang dan bebas. Apabila golongan remaja ini menikmati keseronokan tanpa mengambil peduli batas agama maka secara tidak langsung keutamaan hidup mereka telah songsang. Mana-mana agama dan kepercayaan menyarankan penganutnya supaya mengutamakan aspek agama dalam hidup.

Selain itu, golongan remaja yang terlalu leka dibuai keseronokan duniawi tanpa mereka sedar telah bertindak mengambil jalan untuk melarikan diri daripada kehidupan sebenar. Hal ini demikian kerana remaja yang terlalu taksub menikmati keseronokan akan turut mengubah cara hidup mereka kepada kehidupan yang bertentangan dengan norma masyarakat, iaitu tidak terurus serta tidak mempunyai matlamat diri yang sebenar. Sebaliknya mereka hanya mementingkan masa dan usia bersama rakan-rakan dalam mengejar keseronokan dunia. Hal ini seolah-olah menyebabkan tidak ada jalan penyelesaian kepada masalah mereka.

Walau bagaimanapun, terdapat langkah  drastik yang boleh diambil masyarakat khususnya ibu bapa dalam mendidik anak-anak remaja supaya tidak terjebak dengan masalah disiplin “crazy thinking”. Antaranya ialah sentiasa mengawasi tingkah laku anak-anak pada setiap masa. Sikap mengambil berat terhadap keperluan anak-anak juga membantu menghilangkan perasaan negatif mereka terhadap ibu bapa. Mereka akan rasa lebih disayangi sekiranya kasih sayang serta keprihatinan ibu bapa tidak pernah putus buat mereka. Lakukan aktiviti sihat bersama keluarga sebagai contoh membawa ahli keluarga keluar bersiar menikmati suasana luar sekali gus mendedahkan anak-anak kepada sosial sihat masyarakat. Cara ini dinamakan cara paling sesuai untuk membentuk akhlak anak-anak agar pantas berfikir serta cekap bertindak.

Kesimpulannya, golongan remaja sememangnya golongan yang dahagakan pembaharuan serta keseronokan duniawi dalam diri. Mereka memerlukan persekitaran masyarakat yang memahami kehendak dan minat mereka. Remaja yang suka kepada kehidupan bebas akan sentiasa mencari kebebasan tersebut demi untuk memuaskan diri. Sekiranya keperluan ini tidak dapat ditemui, maka akan berlakulah tingkah laku buruk dalam kalangan anak-anak remaja.

Sunday, January 30, 2011

PILIH HIBURAN YANG POSITIF

OLEH: NIXCKSON NINGKAN, DBP SARAWAK

Golongan pelajar pada masa kini memerlukan hiburan untuk menikmati usia kehidupan. Sebagai contoh, kanak-kanak mempunyai minat menonton cerita kartun, orang dewasa pula lebih cenderung untuk memilih hiburan yang sesuai dengan usia mereka. Bagaimana pula dengan golongan remaja atau pelajar sekolah? Ironinya, mereka mempunyai jenis minat yang tersendiri.

Perbezaan minat yang ketara dalam kalangan remaja meletakkan pelbagai persepsi dalam masyarakat terhadap golongan remaja. Tidak dinafikan bahawa remaja lebih cenderung serta memiliki minat yang sangat tinggi terhadap hiburan yang berbentuk keseronokan atau hiburan semata-mata. Lebih teruk lagi mereka mengagung-agungkan hiburan dari dunia Barat. Tidak kisahlah hiburan mana menjadi pilihan anak-anak remaja kita, yang penting mereka menjadikan hiburan itu sebagai sesuatu yang  positif dalam diri mereka.

Hiburan yang memiliki kualiti tinggi terdapat di mana-mana. Sebagai seorang remaja khususnya pelajar sekolah harus bijak dalam menentukan jenis hiburan. Elok sekiranya remaja sekolah memilih hiburan yang berfaedah seperti membaca, bersukan ataupun melakukan sesuatu yang baru. Ramai dalam kalangan masyarakat yang beranggapan bahawa hiburan hanya fokus kepada muzik sahaja.  Masyarakat yang beranggapan seperti itu adalah silap. Hal ini kerana hiburan bukan sahaja sekadar muzik malah pengertian hiburan sangat luas dalam ruang lingkup masyarakat masa kini.

Bagi seorang remaja sekolah, aktiviti seperti melibatkan diri dengan kegiatan di sekolah juga dikenali sebagai hiburan. Aktiviti seperti mengadakan motivasi, program pendidikan dan ceramah juga banyak memberikan faedah berbanding aktiviti lain. Pada masa yang sama mereka dapat meningkatkan keyakinan diri dalam memimpin generasi akan datang. Kesemua budaya baik tersebut merupakan satu budaya yang positif untuk berhibur.

Remaja sekolah merupakan golongan masyarakat yang sentiasa mencari hiburan serta identiti diri. Menyentuh mengenai budaya remaja masa kini, mereka sering kali dilihat cuba untuk melakukan sesuatu yang baru sesuai dengan kehendak dan perasaan mereka. Untuk berhibur terdapat banyak cara yang boleh remaja sekolah amalkan. Sebagai seorang pelajar, mereka harus bijak menentukan serta mencari jenis hiburan yang sesuai. Bersukan adalah bentuk hiburan yang paling sesuai untuk golongan remaja sekolah. Melalui aktiviti sukan, minda serta pemikiran remaja dapat dibentuk menjadi seorang yang tabah. Otak yang cerdas dan badan yang sihat adalah punca kepada kejayaan.

Oleh itu, golongan remaja harus tahu baik dan buruk bentuk hiburan yang mereka inginkan.. Elakkan daripada memilih hiburan yang salah dan jangan terlalu berhibur sehingga mengetepikan batasan yang ditetapkan oleh agama.
SEDARLAH ADIK KU

Lihat adik ku
Hidup ku mengeluh
Lena dibuai kisah diri mu
Setiap malam tidur tak lena
Duduk termenung di sudut sofa
Memikir jauh masa depan serta nasib mu
Dari mana dan macam mana
Sehingga kini
Jawapan pasti masih tidak ku temui

Lihat adik ku
Hati ku meronta-ronta
Jiwa tertekan mencari bahagia
Dalam meniti hari
Semangat ku terasa kehilangannya
Bukan aku tak cukup kuat menghadapinya
Tapi aku hanya manusia biasa
Lemah tidak terkata
Tidak mampu mengharungi semua
Aku hanya berserah dan berdoa
Kepada Nya yang maha kuasa


NIXCKSON NINGKAN
DBP CAWANGAN SARAWAK



BUDAYA MENASIHATI MELAHIRKAN MASYARAKAT MINDA KELAS PERTAMA

Oleh: Nixckson Ningkan

Dewasa ini, budaya menasihati antara satu sama lain semakin pupus di muka bumi. Kewujudannya semakin sukar untuk kita lihat dalam kalangan masyarakat. Kebanyakan masyarakat lebih mementingkan urusan yang berkaitan dengan kepentingan diri sendiri khususnya duniawi dan materialistik. Kedua-dua aspek ini pastinya mendatangkan banyak keburukan kepada masyarakat berbanding kebaikan. Hakikatnya apabila manusia tidak mengamalkan nilai menasihati maka masyarakat akan hidup dalam keadaan kucar-kacir, keliru, leka dan mementingkan hawa nafsu semata-mata.

Secara umumnya budaya menasihati adalah satu amalan yang baik untuk membentuk individu berguna di samping mengingatkan mereka daripada melakukan kesilapan. Sungguhpun pada amnya manusia memang tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan, namun ianya bukanlah satu alasan untuk kita menidakkan hubungan silaturahim antara masyarakat berbilang latar belakang. Amalan menasihati harus dimiliki untuk merealisasikan impian melahirkan masyarakat minda kelas pertama. Apabila amalan ini diamalkan, sudah pasti akan membuahkan suasana kemesraan dan mewujudkan sikap saling menghormati. Perpecahan antara masyarakat tidak akan berlaku dengan adanya sikap baik ini.

Kejayaan ramai anak-anak muda dalam bidang akademik mahupun bidang kokurikulum adalah hasil daripada peranan budaya menasihati dalam kalangan masyarakat terutamanya ibu bapa dan guru. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dalam membentuk anak-anak yang berfikiran intelek serta kreatif dalam berfikir. Budaya menasihati juga mampu membentuk peribadi anak-anak menjadi insan yang mampu bersaing dengan masyarakat lain secara positif. Kejayaan akan menyusul melalui usaha murni mendisiplinkan diri di samping merendahkan diri di dalam segala perkara. Sikap merendah diri adalah kunci kepada kejayaan.

Kita juga dituntut supaya menerima nasihat dengan ikhlas. Disiplin yang tinggi ketika mendengar nasihat adalah menjadi sandaran utama dalam merealisasikan matlamat melahirkan masyarakat minda kelas pertama. Ramai dalam kalangan masyarakat yang memiliki pendidikan pelbagai taraf, namun mereka tidak memiliki nilai menasihati dan kebanyakan mereka bersikap sombong serta angkuh. Sikap yang hanya menutup mata melihat masalah orang lain jelas akan mendatangkan kerugian kepada diri sendiri. Kita harus membantu setiap individu yang memerlukan apa jua bentuk pertolongan bukan sahaja melalui bentuk nasihat malah sokongan moral juga turut penting peranannya.

Kita di nasihatkan supaya memberikan nasihat dengan hati yang jujur dan ikhlas. Biarlah nasihat yang diberikan kepada mereka yang memerlukan sesuatu yang berkualiti dan mempunyai nilai positif logiknya. Paling penting ketika memberi nasihat, kita harus menyediakan diri dengan segala ilmu serta pengalaman yang kita miliki supaya mesej dalam nasihat yang hendak disampaikan betul-betul sesuai dan  berkesan.
Jangan sesekali pernah merasa rugi dengan usaha murni kita menasihati mana-mana individu. Setiap kata nasihat yang kita ungkapkan akan membawa peluang kepada individu yang kita bantu untuk mencapai kejayaan. Semakin kita peka kepada mereka semakin besar peluang untuk mereka mengubah dan membetulkan kesilapan yang telah lakukan. Kemodenan serta pembangunan negara pada masa kini menjadi halangan utama kepada masyarakat. Hal ini kerana bilangan masyarakat yang memiliki minda kelas pertama masih kurang. Kemahiran berfikir serta ilmu pengetahuan semakin dituntut ekoran daripada kemajuan negara. Semakin besar tanggungjawab masyarakat untuk meletakkan diri mereka di dalam kelompok negara maju.

Justeru, anak-anak muda khususnya para pelajar harus berani menyahut cabaran. Disiplinkan diri dalam segala aspek, menghormati orang tua, guru dan rakan-rakan adalah punca kepada kejayaan. Oleh itu, kikis segala sikap buruk, lihat sekeliling dan mengorak langkah bersama mereka yang telah berjaya menjadi pelajar kelas pertama. Ramai individu berjaya yang boleh dijadikan sebagai contoh. Maka dengan itu, jadilah anak saling mendengar nasihat dan menasihati.



Saturday, January 29, 2011

BAGAIMANA MENJADI PELAJAR CEMERLANG
Oleh: Nixckson Ningkan Gundi

Dewasa ini, banyak cara yang dapat kita lihat untuk bergelar seorang pelajar yang cemerlang. Bukan sahaja cemerlang dari segi akademik malah turut cemerlang dalam aspek kokurikulum. Kedua-dua aspek tersebut adalah sangat penting serta mempunyai peranan nilai tambah yang tersendiri. Bergelar sebagai seorang pelajar baik pelajar sekolah rendah mahupun menengah adalah sesuatu yang sangat mencabar. Hal ini kerana segala cabaran serta rintangan pastinya menjadi halangan utama bagi setiap pelajar. Namun demikian, untuk menjadi pelajar yang berjaya, semua cabaran harus dihadapi dengan semangat kental dan tabah.
Pelajar cemerlang sememangnya menjadi impian setiap individu, namun berapa ramaikah mereka yang berjaya mencapai impian tersebut? Adalah tidak menjadi masalah bagi mereka yang memiliki motivasi serta disipilin diri yang tinggi. Disiplin yang baik adalah antara sumber kepada kecemerlangan dalam pelajaran. Tanpa disiplin yang tinggi, sukar untuk mencapai sesebuah kejayaan kerana ironinya kejayaan tidak akan datang dengan mudah tanpa usaha yang jitu dalam diri pelajar itu sendiri.
Selain itu, minat juga merupakan faktor penyumbang kepada kejayaan seseorang pelajar. Tanpa minat yang mendalam terhadap pelajaran khususnya bagi mata pelajaran yang sukar maka kejayaan pasti sukar untuk dicapai. Minat memainkan peranan yang sangat penting dalam melahirkan pelajar cemerlang. Ramai dalam kalangan masyarakat sekarang khususnya mereka yang bergelar pelajar sekolah kurang mementingkan aspek minat dalam pelajaran. Secara jujurnya sesuatu tindakan atau perbuatan tidak akan berjaya tanpa minat. Sebagai contoh, apabila diberi tugas yang tidak pernah kita lakukan dan langsung kita tidak minat. Bagaimanakah reaksi anda terhadap tugas berkenaan dan sejauh manakah kualiti kerja tersebut? Sudah pasti kualitinya tidak memuaskan dan ada kalanya melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sesetengah pihak.
Sikap tidak malu bertanya juga antara cara terbaik yang harus ada pada setiap pelajar. Pepatah Melayu mengatakan “malu bertanya sesat jalan”. Melalui pengertian dalam pepatah tersebut jelas menyatakan bahawa pelajar yang malu bertanya dan hanya diam tidak akan mendapat banyak ilmu jika sekiranya mereka tidak berani. Senario masa kini menyaksikan pelajar yang aktif dan banyak bertanya  ketika di dalam kelas lebih berjaya dan tidak banyak masalah dalam pelajaran berbanding dengan mereka yang pasif dan pemalu.
Ramai dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa tidak sedar akan kepentingan riadah kepada anak-anak. Tanggapan bahawa riadah dan sukan umpamanya hanya membuang masa dan tidak penting adalah satu tanggapan yang salah. Pelajar yang tidak beriadah akan menjadi lemah daya fikiran kerana otak tidak cerdas. Sebagai seorang pelajar adalah memang membosankan sekiranya sentiasa berhadapan dengan buku-buku, nota serta tugasan sekolah. Fikiran mereka akan menjadi terhad untuk berfikir akan hal lain. Selaras dengan kemajuan negara masa kini maka pemikiran anak-anak haruslah didedahkan dengan dunia luar yang penuh dengan ilmu serta maklumat penting. Anak-anak juga perlu diberikan pendedahan terhadap pergaulan sosial dengan masyarakat.
Amalan serta pegangan hidup juga menjadi tanggungjawab penting bagi setiap pelajar untuk menjadi pelajar cemerlang. Amalan yang baik seperti menghormati ibu bapa, guru mahupun rakan-rakan tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa harus diamalkan. Pelajar yang memiliki disiplin yang tinggi akan lebih cenderung untuk mendapat sesebuah kejayaan berbanding dengan mereka yang tidak memilikinya.
Kesimpulanya, untuk menjadi pelajar cemerlang semestinya memerlukan disiplin yang tinggi di samping menuntut kita supaya mengamalkan nilai baik seperti menepati masa dan mahir dalam mengurus jadual peribadi tanpa mengharapkan orang lain. 

Friday, January 28, 2011

PILIHAN BIJAK MELANJUTKAN PELAJARAN: IPTA ATAU IPTS?

Oleh MUHAMMAD NUR FAEZ HAZREEQ ABDULLAH

B.A HONS UMS


Dalam kebanyakan Institusi Pengajian Tinggi Awam atau Swasta yang terdapat di Malaysia, ada di antaranya yang sering menjadi buah mulut anak-anak muda khususnya golongan remaja yang masih berada di bangku sekolah mahupun mereka yang sedang menunggu keputusan SPM atau STPM. Mereka secara tidak langsung telah menyenaraikan senarai IPTA/IPTS yang paling popular serta menjadi impian seawal di bangku sekolah lagi. Terdapat Institusi Pengajian Tinggi Awam yang terkenal di negara kita seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta banyak lagi.
Pastinya menjadi harapan semua orang untuk melangkah masuk ke Universiti bagi melanjutkan pelajaran. Tidak kiralah IPTA ataupun IPTS apa yang penting impian untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kesampaian dan dapat direalisasikan. Namun jangan terlalu teruja sehinggakan tersalah percaturan. Pilihan Universiti, kursus dan perkara-perkara yang melibatkan pembelajaran adalah menjadi tanggungjawab dan harus diberikan perhatian.
Melangkah ke IPT sememangnya memiliki situasi yang berbeza berbanding ketika masih berada di bangku sekolah. Melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi sememangnya menuntut pelbagai persiapan sama ada dari segi mental dan fizikal. Ini kerana, perjalanan pengajian di institusi pengajian tinggi sama sekali tidak sama dengan gaya serta cara pembelajaran di sekolah menengah. Jika di sekolah, kita perlu mengikut bimbingan daripada guru serta terikat dengan peraturan sekolah tetapi berlainan situasinya di institusi pengajian tinggi. Kita perlu pandai merancang perjalanan pengajian dengan menentukan sendiri masa belajar berpandukan kesesuaian jam kredit yang diambil. 

Terdapat juga pro dan kontra melanjutkan pelajaran ke IPTA dengan IPTS. Jika di institusi pengajian tinggi awam, memang tidak dinafikan yuran pengajiannya lebih murah berbanding dengan institusi pengajian tinggi swasta. Selain itu, kursus yang ditawarkan di IPTA mendapat akreditasi atau pengiktirafan dari pihak Malaysian Qualification Asociation MQA, dan hal ini mengelakkan kekeliruan dalam penganugerahan sijil. Dari segi kebajikan pelajar juga lebih terjamin ekoran daripada dasar kerajaan yang lebih banyak membantu. Banyak pendekatan serta tindakan drastik yang telah diambil oleh pihak kerajaan bagi memantapkan lagi keterampilan pelajar di samping melahirkan mahasiswa yang lebih berkeyakinan ketika berhadapan dengan masyarakat umum. Sistem pengajian yang lebih telus di IPTA juga menjadi faktor tarikan minat anak-anak muda untuk melanjutkan pelajaran di institusi berkenaan. 

Dalam pada itu juga, kualiti pengajian yang dijalankan di IPTA tidak diragui kerana kepakaran tenaga pengajar tidak menjadi masalah. Malah ramai dalam kalangan pensyarah yang telah dihantar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah(PhD) bagi tujuan untuk melahirkan tenaga pakar. Langkah sedemikan dilihat mampu melahirkan graduan yang berkualiti. Sesuai dengan syarat kemasukan pelajar ke IPTA yang ketat maka tidak hairanlah graduan yang bakal dikeluarkan mempunyai kualiti yang tinggi dan mampu menggalas tugas dengan berkesan apabila berada di alam pekerjaan kelak. 


Jika dinilai melalui perspektif kualiti graduan lulusan IPTS, tidak lain dan tidak bukan ramai di antara individu yang beranggapan bahawa kualiti pengajian yang bukan sahaja diragui malah pengeluaran graduan yang ramai sekaligus menyumbang sedikit sebanyak kepada wujudnya istilah penganggur tegar. Bukan sahaja sijil tidak diiktiraf oleh MQA, malah dari segi disipilin dilihat kurang penekanan serta longgar menyebabkan para pelajar IPTS kurang komited dalam pelajaran. Selain itu ada juga dalam kalangan pelajar IPTS yang meluahkan rasa tidak puas hati mereka apabila sukar untuk mendapatkan pinjaman pelajaran. Hal ini kerana perbadanan atau organisasi kewangan yang berperanan dalam memberikan pinjaman pelajaran kurang berkeyakinan dengan kemampuan pelajar IPTS untuk cemerlang dalam pelajaran mereka. Fenomena ini sering di utarakan oleh pelajar IPTS, namun lain yang dialami oleh para pelajar yang menuntut di IPTA kerana pinjaman pendidikan sudah pasti layak bagi mereka kerana perbadanan pinjaman pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menawarkan pinjaman kewangan kepada sesiapa sahaja yang layak untuk melanjutkan pengajian di IPTA.  Selain PTPTN, terdapat juga badan yang berperanan menawarkan biasiswa kepada pelajar yang menuntut di IPTA seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Yayasan, Mara dan banyak lagi. Kos serta keperulan pelajaran yang sangat tinggi juga punca IPTS kurang mendapat tarikan daripada anak-anak muda lepasan sekolah menengah dan hal ini tidak mungkin akan dialami oleh pelajar IPTA. 

Walau bagaimanapun, Pemilihan bidang pengajian adalah menjadi masalah utama kepada bakal pelajar IPTS kerana kurang pendedahan. Tetapi pihak kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi telah mengambil tindakan dengan mengadakan ekspo pendidikan pada setiap tahun bagi tujuan mempromosikan IPTA. Banyak kursus-kursus yang ditawarkan oleh Universiti tempatan mahupun swasta untuk melanjutkan pelajaran dengan bidang yang spesifik. Antara kursus yang umumnya didengar oleh pelajar adalah seperti kursus kedoktoran, kejuruteraan, bidang sains, teknologi maklumat, perakaunan serta pengurusan. Namun mereka tidak sedari akan kepentingan kursus lain yang semakin penting pengisiannya bagi menampung kekurangan tenaga kerja. 

Bidang sains misalnya menawarkan pelbagai jenis pekerjaan kepada pelajar yang berminat mendalami bidang tersebut. Selaras dengan perkembangan dunia sains pada masa kini, generasi akan datang boleh memilih pelbagai bidang sains seperti biologi, fizik, kimia, geologi serta matematik mengikut kecenderungan serta minat masing-masing. Kemajuan bidang sains dan teknologi di peringkat global menjadi kayu pengukur bahawa tamadun serta cara hidup manusia pada masa sekarang semakin maju dengan wujudnya kepakaran yang pelbagai. 

Apabila bergelar pelajar institusi pengajian tinggi, sudah menjadi lumrah bahawa banyak perkara yang perlu diambil berat contohnya pembahagian masa. Soal masa tentunya menjadi subjek utama apabila menggalas tanggungjawab sebagai pelajar IPT. Jika di sekolah, kita telah ditetapkan dengan masa pengajian oleh pihak sekolah dan lazimnya proses pengajaran dan pembelajaran akan berakhir pada jam 2 petang setiap hari. Kita juga terikat dengan masa dan aktiviti lain yang telah ditetapkan khususnya kokurikulum wajib. Namun ketika belajar di IPTA pula, kita sendiri yang berperanan menetapkan masa kuliah dan masa belajar sendiri. Kita merancang jadual aktiviti harian sendiri. Hal ini kerana setiap individu yang menuntut di IPTA sebenarnya sedang menjalani satu fasa atau proses yang menuntut kita untuk menilai sendiri sejauh mana kemampuan mengurus serta menguji tahap profesionalisme  dalam membahagikan masa di antara akademik dengan kokurikulum. 

Selain itu, cara belajar di IPTA juga menjadi aspek penting dan perlu mendapat perhatian setiap pelajar. Sungguhpun perkara pokok atau tujuan belajar di IPT adalah untuk mendengar kuliah, mengingat, membuat tugasan dan menduduki peperiksaan, namun kita harus ingat bahawa tanggungjawab kita sebenarnya bukan setakat itu sahaja. Kita perlu menyesuaikan diri dengan pelbagai aktiviti yang diadakan oleh pihak universiti. Melalui aktiviti kemahasiswaan umpamanya mampu mengubah jati diri yang lebih kondusif dan inovatif. Pelajar yang bergiat aktif dengan banyak aktiviti kemahasiswaan akan menjadi lebih yakin serta matang dari segi penampilan.

Perspektif tugasan adalah merupakan inti pati yang wajib ketika berada di IPT. Selain daripada memenuhi kuota kuliah, kita juga diamanahkan dengan pelbagai tugasan yang telah diberikan oleh para pensyarah. Ini kerana setiap tugasan yang diberikan adalah melibatkan markah sokongan subjek yang diambil. Ada tugasan yang bersifat tugasa individu. Tugasan ini menuntut kita lebih serius dan berdisipiln kerana tidak ada sebarang alternatif berkaitan mampu membantu sekiranya kita kurang mendisiplinkan diri dengan tugasan. Terdapat juga tugasan yang melibatkan kerja berkumpulan. Situasi seperti ini juga memerlukan kerjasama yang jitu daripada setiap individu yang berada di dalam kumpulan tersebut. Silap sedikit kita akan dipersalahkan dan dianggap tidak memberikan kerjasama. Pelbagai cabaran serta dugaan bakal kita hadapi ketika membuat tugasan baik secara individu mahupun berkumpulan. Hakikatnya kita perlu sedaya upaya untuk memberikan kerjasama dan mendisiplinkan diri di dalam setiap tugasan yang diamanahkan kerana setiap tugasan yang dilakukan akan disusuli dengan proses pembentangan yang mana menuntut keyakinan diri kita ketika berkomunikasi dengan audien. Kemahiran berinteraksi di hadapan umum menjadi persoalan utama kepada kita.

Justeru, anak-anak muda lepasan sekolah yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat IPT haruslah bijak memilih bidang serta institusi pengajian mengikut kesesuaian pasaran pekerjaan. Kesilapan memilih bidang pengkhususan akan menyebabkan kerugian bukan sahaja dari aspek masa malah juga aspek kewangan. Mana tidaknya, penat-penat kita belajar namun apabila tamat pengajian tidak mendapat pekerjaan di mana-mana. Hal ini harus diambil berat oleh setiap individu yang bakal bergelar pelajar IPT bak kata orang keputusan di tangan kita sebagai penentu segalanya.

AKU BENCI (Koleksi Sajak Peribadi)

AKU BENCI 

Aku benci
Manusia kejam dan jumud
Setiap detik mengundang malang
Dengan nafsu kian memuncak
Berpeleseran kiri kanan
Dengan nafsu semakin muak
Berkepit berpegangan tangan

Aku benci
Dunia tanpa kesedaran
Remaja terlalu bebas
Melangkah ke alam gelap
Kabur,hitam,malap dari kesucian
Seks bebas menjadi sandaran
Ekoran mengejar keseronokan
Tong sampah, longkang dan tandas
Menyaksikan peristiwa kejam
Menyayat hati menggoncang perasaan
Setiap insan yang bergelar hamba Tuhan

Aku benci
Mana tidaknya
Bayi tak berdosa terampai seksa
Bayi tak berdosa terkorban jiwa
Namun apakan daya
Perbuatan dusta manusia hina
Punca angkara derita merana

Wajah tua itu tidak berkata lagi
Wajah tua itu tidak bersuara lagi
Yang tinggal hanya penyesalan
Mengharap kalbu yang dimamah nafsu
Berhenti rakus melaknati kesucian
Kerana anak adalah anugerah terindah
DariNya yang Maha Kuasa

Sedarlah wahai Teman
Berpeganglah pada bicara suci
Jitukan iman dengan ketakwaan
Yakinlah pada dirimu sendiri
Nescaya bertemu kesempurnaan yang azali


Nukilan: Nixckson Ningkan Gundi, Universiti Malaysia Sabah

Kritikan Karya (Filem)

KRITIKAN FILEM THE PROPOSAL ARAHAN ANN FLETCHER

SINOPSIS

Filem The Proposal merupakan satu filem komedi romantis yang akan membuatkan penonton  tidak kering gusi ketawa apabila menontonya. Cerita ini mengisahkan tentang Margaret iaitu seorang pegawai Eksekutif di sebuah syarikat penerbitan buku iaitu syarikat Colden Book.. Margaret merupakan seorang eksekutif yang sangat garang. Dia telah menghadapi satu masalah kewarganegaraan apabila visa kerjanya telah tamat tempoh sah dan ini telah membuatkan beliau perlu dipecat daripada jawatannya yang di pegang. Dia perlu kembali ke negara asalnya iaitu Kanada. Untuk mengelakkan daripada balik ke Kanada Margaret telah merancang satu perkahwinan palsu dengan pembantunya iaitu Andrew. Tindakan seperti itu diambil adalah untuk membolehkannya mendapatkan visa agar dapat terus menetap di Amerika, Idea spontan yang ditimbulkan oleh Margaret  telah mengejutkan Andrew.
Andrew yang sudah tidak tahan bekerja dengan Margaret telah mengenakan satu syarat  supaya perkahwinan mereka tetap dilakukan. Di sebabkan ingin mengahwini Andrew, Margaret telah mengikut Andrew pulang ke kampung yang terletak di Alaska, di mana Margaret telah berjumpa dengan keluarga Andrew. Di Alaska penonton disajikan dengan pelbagai aksi lucu dari keluarga Andrew dan juga Margaret.
Pada mulanya perkhawinan yang dirancang oleh mereka adalah lakonan semata-mata dan bertujuan untuk mendapatkan kembali taraf kewarganegaraan Margaret yang telah tamat tempoh visanya sebagai pemastautin. Namun akhirnya perkhawinan mereka betul-betul terjadi ekoran daripada sikap mula serius yang mereka tunjukkan antara satu sama lain. Sokongan daripada keluarga Andrew juga turut membantu dalam kejayaan berlangsungnya perkhawinan mereka.


 PLOT CERITA

Plot adalah penceritaan peristiwa yang berdasarkan sebab dan akibat. Plot yang terdapat di dalam filem The Proposal adalah tersusun dan diaplikasikan secara kronologi.

Permulaan
Filem The Proposal memaparkan pada permulaannya tentang pemecatan seorang pekerja di bawah  seliaan Margaret. Pekerja yang dimaksudkan  ialah Bob Spauling. Juga berita tentang Margaret yang perlu di hantar ke negara asalnya iaitu Kanada kerana visanya telah tamat.

Klimaks
Klimaks dalam filem  ini ialah Margaret telah merancang untuk berkahwin dengan Andrew yang merupakan seorang pembantunya. Margaret telah di bawa balik ke kampung Andrew iaitu di Alaska kerana ingin memperkenalkan Margaret kepada keluarganya  di samping neneknya telah menyambut hari jadinya. Nenek Andrew telah merancang perkahwinan antara Andrew dan Margaret.

Peleraian
Peleraian dalam cerita ini ialah telah timbul di hati  Margaret  rasa bersalah kepada keluarga Andrew ini terjadi semasa nenek Anderw telah menyerahkan baju pengantin kepada Margaret. Di majlis perkahwinannya Margaret telah berterus terang kepada keluarga Andrew dan membatalkan majlis perkahwinannya. Akhirnya perkhawinan Andrew dan Margaret  menjadi kenyataan apabila masing-masing sudah mula menunjukkan keseriusan dalam hubungan. Dan perkhawinan mereka berakhir dengan perasaan gembira serta suasana yang bersukacita.

HUBUNGKAIT CERITA
Setiap peristiwa yang berlaku di dalam filem ini memang mempunyai hubung kaitnya. Sebagai contoh masyarakat yang terdapat di bandar dan kampung adalah sama. Mereka saling memahami antara satu sama lain. Namun budaya yang mereka alami menampakkan sedikit perbezaan. Tetapi bukan perbezaan yang sangat ketara. Setiap watak yang dilakonkan saling kaitan antara satu sama lain contohnya di dalam pejabat yang menunjukkan hubungan antara pegawai eksekutif dengan majikan.


INTENSITI KESAN

Dalam filem The Proposal ini terdapat beberapa babak yang memeberi kesan kepada penonton kerana babak dalam cerita ini berkisarkan sebuah cerita yang bercorak komedi. Ini dapat dilihat dalam babak di mana  Margaret telah bertembung dengan Andrew dalam keadaan sama-sama bogel. Selain itu juga semasa babak di mana Margaret menuruni tangga dan Andrew telah memegang punggungnya.
Terdapat juga mood sedih dalam cerita ini iaitu semasa dalam bot di mana Andrew dan Margaret berada di dalamnya. Margaret telah membawa bot dengan laju  dan dia telah terjatuh kedalam air perasan bersalah telah melanda dalam hatinya.

KEASLIAN CERITA
Sememangnya filem The Proposal arahan Ann Fletcher ini mempunyai jalan cerita yang asli. Keaslian cerita dapat kita lihat melalui beberapa watak yang dilakonkan oleh para pelakon di mana mereka melakonkan watak masing-masing mengikut cara mereka sendiri tanpa meniru daripada orang lain ataupun mengadaptasi daripada cerita lain. Perjalanan cerita sangat teratur dan mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri.



SHOT, PERGERAKAN DAN SUDUT KAMERA
1.    High Angle – Kamera di letakkan dalam posisi atas untuk menangkap gambar yang berada di bawah, contoh: Semasa Andrew dan Margaret menuruni tangga yang terdapat di jeti untuk masuk ke dalam bot.

2.    Low Angle – Kamera diletakkan dibawah untuk menangkap gambar yang berada di atas. Contoh: Mengambil gambar pesawat yang dinaiki oleh Margaret dan Andrew di mana pesawat tersebut dinaiki oleh mereka untuk kembali menemui keluarga Andrew di Alaska.

3.    Close Up – Kamera difokuskan lebih dekat kepada objek atau gambar. Contoh: Dalam babak Margaret dan Andrew berada di dalam pesawat. Banyak teknik pengambaran close up digunakan menunjukkan ekspereasi wajah mereka berdua yang kelihatan penat dan mengantuk. Mereka saling berinteraksi antara satu sama lain tanpa menatap wajah masing-masing maka sebagai cara untuk mendapatkan ekspreasi muka mereka teknik close up digunakan.

4.    Extreme Close Up – Kamera difokuskan sangat dekat dengan objek atau gambar. Contoh teknik pengambaran extreme close up yang digunakan di dalam filem The Proposal ialah dalam babak Margaret dan Andrew berjalan-jalan di bandar Alaska dengan menggunakan teksi, Margaret sebagai seorang yang berperwatakan tegas dan tidak biasa dengan situasi bandar baru secara tidak langsung berkelakuan seperti orang asing melihat ke kiri dan kanan. Dia melihat satu persatu bangunan serta kedai yang terdapat di bandar tersebut. Dia juga melihat serta merenung nama kedai yang terdapat di papan tanda. Makan dalam situasi ini teknik extreme close up digunakan.

5.    Pan Right dan Pan Left – Kamera digerakkan ke kiri dan kanan mengikut pergerakkan pelakon. Contoh; Ketika situasi cemas di dalam peswat apabila pesawat yang mereka naiki untuk pulang ke Alaska melanggar awan-awan tebal. Situasi cemas dan panik menyebabkan ramai penumpang yang tidak stabil kedudukan mereka termasuk Margaret dan Andrew.

6.    Long Shot – Contoh; Ketika Andrew berada keseorangan di jeti apabila kecewa dengan nasib yang dia alami. Dia tidak suka dengan layanan yang diberikan oleh keluarganya terhadap Margaret.


WATAK DAN PERWATAKAN

ANDREW
Watak Andrew di lakonkan oleh Ryan Reynolds. Andrew ialah seorang yang sangat peyayang dan ini dapat di lihat apabila dia berasa khuatir Margaret akan jatuh semasa turun dari tangga semasa babak mereka menuruni tangga kayu jeti untuk masuk ke dalam bot. Selain itu juga Andrew seorang yang menurut arahan, dan ini dibuktikan apabila dia menurut cadangan  Margaret ingin berkahwin secara palsu dan berpura-pura denganya. Perwatakan Andrew yang lain pula ialah seorang yang mengambil berat terhadap apa juga situasi. Contohnya semasa Margaret terjatuh ke dalam air, dia bertindak untuk menyelamatkan Margaret dan menyelimutkan Margaret bagi menghilangkan kesejukan. Andrew juga seorang yang berpegang kepada janji kerana beliau tidak menyentuh Margaret dan beliau juga seorang yang amat mencintai Margaret ini dapat di lihat apabila beliau memujuk Margaret agar kembali kepadanya.

MARGARET
Watak Margaret  dilakonkan oleh Sandra Bullock. Margaret adalah merupakan seorang wanita berkerjaya dan seorang pemimpin yang sangat tegas. Ini dapat dilihat semasa ketibaan beliau di pejabat, semua pekerja bawahannya panik dan bertindak cepat-cepat untuk menjalankan tugas masing-masing. Perwatakkan Margaret yang lain pula ialah seorang yang mudah naik angin atau panas baran. Contonya beliau memandu bot dengan laju tanpa  memikirkan keselamatan dirinya dan Andrew. Selain itu juga Margaret seorang yang suka mengambil sesuatu keputusan tanpa memikirkan pendapat orang lain contohnya Margaret telah membuat cadangan untuk berkahwin palsu dengan Andrew tanpa memikirkan perasaan Andrew.

NENEK
Nenek Andrew seorang yang penyayang ini dapat di lihat apabila dia menyambut kepulangan Andrew dengan gembira dan dia juga sayang kepada Margaret dan telah memberi pakain pengantin kepada Margaret. Nenek juga seorang yang suka membuat helah contonya dia pura-pura jatuh sakit dan kemudianya dapat menaiki kapal terbang supaya dapat menghalang Margaret dari balik ke tempat asalnya. Nenek Andrew juga berperwatakan sebagai seorang yang sangat peka akan perasaan serta keperluan masyarakat pada zaman sekarang. Hal ini ditunjukkannya melalui tindakannya yang memahami apakah baju penganti yang sesuai digunakan oleh Margaret untuk menghadapi majlis perkhawinannya dengan Andrew. Dia juga sangat memahami semua pihak.

EMAK ANDREW
Emak kepada Andrew adala seorang yang sangat penyayang. Dia sangat mengambil berat akan keperluan anaknya dan bakal menantunya iaitu Margaret. Dia sangat memahami apakah keperluan anaknya di dalam menghadapi perkhawinan.
 Selain itu, dia sangat peramah dan ini dibuktikan melalui sikapnya yang boleh bergaul dengan semua orang termasuk tetamu yang menghadiri majlis perkhawinan Andrew dan Margaret.

BAPA ANDREW
Seorang yang penyayang dan penuh dengan nilai kasih sayang. Dia sangat mengasihi anak nya Andrew dan juga bakal menantunya Margaret. Walaupun bakal menantunya baru pertama kali berjumpa denga mereka namun bapa kepada Andrew sangat mudah untuk rapat dengan Margaret bakal menantunya itu. Beliau juga sangat peramah serta mengambil berat akan setiap perkara yang mampu memberikan input yang berguna kepada mana-mana pihak.

KOSTUM
Dari segi kostum dalam Filem The Proposal ini menggunakan kostum yang biasa di gunakan  untuk pergi ke pejabat antaranya ialah baju kemeja  berserta dengan kot. Selain itu juga, kostum yang digunakan dalam seharian. Dalam filem ini juga terdapat kostum baju pengantin yang digunakan oleh Margaret semasa ingin melangsungkan perkahwinanya dengan  Andrew.
Selain itu, terdapat juga kostum yang menyerupai pakaian suku kaum Red Indian yang digunakan oleh nenek Andrew semasa dia menari bersama-sama dengan Margaret di dalam hutan yang terletak di belakang rumah mereka.
Terdapat juga pemakaian pakaian yang santai dan biasa digunakan seperti di rumah dan  di bandar.

MAKEUP/MEKAP
Terdapat beberapa contoh mekap yang digunakan di dalam filem The Proposal antaranya ialah mekap yang tidak keterlaluan dalam erti kata lain hanya biasa sahaja. Contoh mekap yang digunakan oleh Margaret semasa dia pergi ke pejabat setiap hari. Dia hanya menggunakan mekap yang biasa digunakan oleh pekerja pejabat dan tidak menampakkan apa-apa penegasan yang ketara.
Manakala mekap yang digunakan oleh penari semasa meraikan kedatangan Andrew dan Margaret pada malam mereka mula menjejakkan kaki ke kampung halaman Andrew. Penari tersebut menggunakan mekap yang tebal dan terdapat kesan positif dan negatif dalam pemakaian mekap tersebut. Nampak muka penari yang berkulit agak gelap itu lebih cerah dan berseri apabila menggunakan mekap yang cerah dan sesuai.


SUNTINGAN
Suntingan dalam filem ini mempunyai antisipasi lawak atau situasi yang menyebabkan lawak dan perkara yang paling penting ialah dialog dan sekaligus mencuit hati serta boleh diingati ramai sebagai saat yang pasti atau dikenali dalam erti kata lain sebagai defining moment. Selain itu, suntingan dalam filem ini adalah berurutan kerana dalam filem ini tidak diselitkan teknik imbas kembali yang berlaku di awal babak sampai ke akhir babak. Terdapat pemaparan setiap babak yang belaku secara terus menerus tanpa sebarang imbas kembali. Oleh yang demikian proses untuk memahami apakah jalan cerita sebenar serta mesej yang disampaikan di dalam filem ini adalah senang dan mudah untuk difahami kerana tidak banyak perkara yang mengelirukan seperti imbas kembali cerita.


MESEJ YANG DISAMPAIKAN

Dalam pada itu, mesej yang cuba disampaikan oleh pengarah serta para pelakon ialah mempunyai seribu satu makna yang sangat berguna kerana kebanyakan babak atau watak yang dilakonkan adalah membawa kepada kesedaran. Manusia zaman sekarang harus sedar akan budaya hidup pelbagai masyarakat serta keturunan. Walau macam mana sekalipun perbezaan budaya orang lain jika dibandingkan dengan budaya sendiri hakikatnya kita harus menerima dan mendalami budaya tersebut dengan hati yang terbuka. Watak garang serta tegas yang keterlaluan yang ditunjukkan oleh Margaret di dalam filem tersebut tidak sesuai untuk masyarakat masa sekarang. Filem tersebut juga mengajar kita supaya lebih menghormati orang yang lebih tua dan  tidak berbohong ataupun berpura-pura. Kita harus jujur apabila berhadapan dengan orang lain yang menimbulkan pelbagai reaksi serta pandangan.


 PENCAHAYAAN
Terdapat beberapa teknik penchayaan yang digunakan di dalam filem ini antaranya ialah, cerah. Cahaya yang cerah digunakan semasa babak lakonan di dalam pejabat. Suasana di situ sangat terang dan menggambarkan suasana hening di pejabat. Selain itu, kebanyakkan lokasi penggambaran dalam filem ini dilakukan di kawasan yang menggunakan aliran cahaya yang agak maksimum.
Terdapat juga penggunaan cahaya yang agak malap serta suram. Ini digunakan semasa babak Andrew dan Margaret tidur di dalam bilik. Pencahayaan yang kadang-kadang cerah dan adakalanya gelap digunakan ketika babak penari menari. Follow spot juga digunakan untuk memberikan fokus kepada penari yang sedang menari.
Selain itu, teknik pencahayaan yang biasa kita lihat iaitu sinaran matahari dari luar masuk ke dalam rumah. Cahaya terang ini sangat jelas dan menampakkan seluruh bahagian di dalam bilik. Cahaya unggun api juga turut digunakan oleh pelakon. Babak ini dilakonkan oleh Andrew dan Margaret semasa mereka tidur dalam keadaan kesejukkan di kampung. Dan sebagai langkah untuk mengelakkan daripada kesejukan, maka mereka menyalakan unggun api di tempat khas untuk menyalakan unggun api di dalam rumah. Suasana hanya bertemankan cahaya unggun api dan menunjukkan suasana suram.


SISTEM AUDIO DAN BUNYI

Di dalam filem ini, antara lain teknik serta penggunaan sistem audio dan bunyi ialah seperti bunyi kuat kapal terbang. Terdapat juga bunyi desiran ombak yang beralun apabila dilalui oleh bot yang membawa Andrew dan Margaret ke rumah keluarga Andrew yang terletak di sebuah kawasan pulau. Selain itu, bunyi sumber alam seperti kicauan burung juga turut digunakan. Bunyi salakan anjing juga tidak ketinggalan untuk digunakan di dalam filem tersebut. Namun pada kebiasaannya bunyi yang selalu kita lihat akan penggunaannya di dalam mana-mana filem ataupun drama ialah bunyi deringan telefon. Filem arahan Ann Fletcher ini juga turut menggunakan sistem audio yang menggunakan deringan telefon. Begitu juga dengan penggunaan bunyi latar yang menarikkan mood penonton untuk terus menyaksikan filem tersebut. Penggunaan bunyi yang digunakan dalam filem ini adalah sangat sesuai dan menarik. Terdapat beberapa unsur bunyi yang digunakan di dalam filem tersebut, antaranya ialah unsur bunyi sedih, gembira, suspen dan situasi tegang.




Oleh: NIXCKSON NINGKAN GUNDI, Universiti Malaysia Sabah

Koleksi Sajak Peribadi

NILAI SEBUAH PERSAHABATAN
Ketika mentari melabuhkan sinarnya
Ku tatap mesra wajah manismu
Ku lihat terpancar satu senyuman
Yang lemah dan tak bermaya
Naluriku berkata
Kau pasti perit menanggung derita

Dulu kau pernah berkata
Tubuh halusmu mengadu derita
Angkara dusta penyakit itu
Yang sering kali melemahkan
Dan kini semuanya terpaksa kau lalui
Terlantar di atas katil hospital
Suasana pilu mengiringi

Hatiku bagai dicakar onak rimba
Melihat tubuhmu ditusuk jarum halus
Kanan dan kiri semua ada
Sungguh nyata penderitaanmu

Namun aku tahu
Ketabahan menyertai dirimu
Derita sengsara kau harungi
Demi sebuah kehidupan
Yang membawa sejuta makna

Aku berdoa KepadaNya
Agar kasihNya mengasihimu
Mukjizat kesembuhan menyelamatkan
Aku yakin semuanya
Tidak mustahil terjadi

Namun
Aku tak boleh berbuat apa
Hanya mampu pasrah dan berdoa
Kini dirimu telah kembali ke alam fana
Bahagia bersama mereka
Yang bergelar insan di alam sana

Wajahmu sering hadir dalam mimpiku
Mengundang seribu satu kenangan
Membawa sejuta makna
Yang tidak ada di mana-mana
Hanya kita berdua yang tahu

Ku doakan dirimu bahagia
Aman dan sentosa sentiasa
Bersemadi abadi di pusara
Yang tenang sampai selamanya

Nukilan: Nixckson Ningkan Gundi, Universiti Malaysia Sabah