PILIHAN BIJAK MELANJUTKAN PELAJARAN: IPTA ATAU IPTS?
Oleh MUHAMMAD NUR FAEZ HAZREEQ ABDULLAH
B.A HONS UMS
Dalam kebanyakan Institusi Pengajian Tinggi Awam atau Swasta yang terdapat di Malaysia, ada di antaranya yang sering menjadi buah mulut anak-anak muda khususnya golongan remaja yang masih berada di bangku sekolah mahupun mereka yang sedang menunggu keputusan SPM atau STPM. Mereka secara tidak langsung telah menyenaraikan senarai IPTA/IPTS yang paling popular serta menjadi impian seawal di bangku sekolah lagi. Terdapat Institusi Pengajian Tinggi Awam yang terkenal di negara kita seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta banyak lagi.
Pastinya menjadi harapan semua orang untuk melangkah masuk ke Universiti bagi melanjutkan pelajaran. Tidak kiralah IPTA ataupun IPTS apa yang penting impian untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kesampaian dan dapat direalisasikan. Namun jangan terlalu teruja sehinggakan tersalah percaturan. Pilihan Universiti, kursus dan perkara-perkara yang melibatkan pembelajaran adalah menjadi tanggungjawab dan harus diberikan perhatian.
Melangkah ke IPT sememangnya memiliki situasi yang berbeza berbanding ketika masih berada di bangku sekolah. Melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi sememangnya menuntut pelbagai persiapan sama ada dari segi mental dan fizikal. Ini kerana, perjalanan pengajian di institusi pengajian tinggi sama sekali tidak sama dengan gaya serta cara pembelajaran di sekolah menengah. Jika di sekolah, kita perlu mengikut bimbingan daripada guru serta terikat dengan peraturan sekolah tetapi berlainan situasinya di institusi pengajian tinggi. Kita perlu pandai merancang perjalanan pengajian dengan menentukan sendiri masa belajar berpandukan kesesuaian jam kredit yang diambil.
Terdapat juga pro dan kontra melanjutkan pelajaran ke IPTA dengan IPTS. Jika di institusi pengajian tinggi awam, memang tidak dinafikan yuran pengajiannya lebih murah berbanding dengan institusi pengajian tinggi swasta. Selain itu, kursus yang ditawarkan di IPTA mendapat akreditasi atau pengiktirafan dari pihak Malaysian Qualification Asociation MQA, dan hal ini mengelakkan kekeliruan dalam penganugerahan sijil. Dari segi kebajikan pelajar juga lebih terjamin ekoran daripada dasar kerajaan yang lebih banyak membantu. Banyak pendekatan serta tindakan drastik yang telah diambil oleh pihak kerajaan bagi memantapkan lagi keterampilan pelajar di samping melahirkan mahasiswa yang lebih berkeyakinan ketika berhadapan dengan masyarakat umum. Sistem pengajian yang lebih telus di IPTA juga menjadi faktor tarikan minat anak-anak muda untuk melanjutkan pelajaran di institusi berkenaan.
Dalam pada itu juga, kualiti pengajian yang dijalankan di IPTA tidak diragui kerana kepakaran tenaga pengajar tidak menjadi masalah. Malah ramai dalam kalangan pensyarah yang telah dihantar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah(PhD) bagi tujuan untuk melahirkan tenaga pakar. Langkah sedemikan dilihat mampu melahirkan graduan yang berkualiti. Sesuai dengan syarat kemasukan pelajar ke IPTA yang ketat maka tidak hairanlah graduan yang bakal dikeluarkan mempunyai kualiti yang tinggi dan mampu menggalas tugas dengan berkesan apabila berada di alam pekerjaan kelak.
Jika dinilai melalui perspektif kualiti graduan lulusan IPTS, tidak lain dan tidak bukan ramai di antara individu yang beranggapan bahawa kualiti pengajian yang bukan sahaja diragui malah pengeluaran graduan yang ramai sekaligus menyumbang sedikit sebanyak kepada wujudnya istilah penganggur tegar. Bukan sahaja sijil tidak diiktiraf oleh MQA, malah dari segi disipilin dilihat kurang penekanan serta longgar menyebabkan para pelajar IPTS kurang komited dalam pelajaran. Selain itu ada juga dalam kalangan pelajar IPTS yang meluahkan rasa tidak puas hati mereka apabila sukar untuk mendapatkan pinjaman pelajaran. Hal ini kerana perbadanan atau organisasi kewangan yang berperanan dalam memberikan pinjaman pelajaran kurang berkeyakinan dengan kemampuan pelajar IPTS untuk cemerlang dalam pelajaran mereka. Fenomena ini sering di utarakan oleh pelajar IPTS, namun lain yang dialami oleh para pelajar yang menuntut di IPTA kerana pinjaman pendidikan sudah pasti layak bagi mereka kerana perbadanan pinjaman pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menawarkan pinjaman kewangan kepada sesiapa sahaja yang layak untuk melanjutkan pengajian di IPTA. Selain PTPTN, terdapat juga badan yang berperanan menawarkan biasiswa kepada pelajar yang menuntut di IPTA seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Yayasan, Mara dan banyak lagi. Kos serta keperulan pelajaran yang sangat tinggi juga punca IPTS kurang mendapat tarikan daripada anak-anak muda lepasan sekolah menengah dan hal ini tidak mungkin akan dialami oleh pelajar IPTA.
Walau bagaimanapun, Pemilihan bidang pengajian adalah menjadi masalah utama kepada bakal pelajar IPTS kerana kurang pendedahan. Tetapi pihak kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi telah mengambil tindakan dengan mengadakan ekspo pendidikan pada setiap tahun bagi tujuan mempromosikan IPTA. Banyak kursus-kursus yang ditawarkan oleh Universiti tempatan mahupun swasta untuk melanjutkan pelajaran dengan bidang yang spesifik. Antara kursus yang umumnya didengar oleh pelajar adalah seperti kursus kedoktoran, kejuruteraan, bidang sains, teknologi maklumat, perakaunan serta pengurusan. Namun mereka tidak sedari akan kepentingan kursus lain yang semakin penting pengisiannya bagi menampung kekurangan tenaga kerja.
Bidang sains misalnya menawarkan pelbagai jenis pekerjaan kepada pelajar yang berminat mendalami bidang tersebut. Selaras dengan perkembangan dunia sains pada masa kini, generasi akan datang boleh memilih pelbagai bidang sains seperti biologi, fizik, kimia, geologi serta matematik mengikut kecenderungan serta minat masing-masing. Kemajuan bidang sains dan teknologi di peringkat global menjadi kayu pengukur bahawa tamadun serta cara hidup manusia pada masa sekarang semakin maju dengan wujudnya kepakaran yang pelbagai.
Apabila bergelar pelajar institusi pengajian tinggi, sudah menjadi lumrah bahawa banyak perkara yang perlu diambil berat contohnya pembahagian masa. Soal masa tentunya menjadi subjek utama apabila menggalas tanggungjawab sebagai pelajar IPT. Jika di sekolah, kita telah ditetapkan dengan masa pengajian oleh pihak sekolah dan lazimnya proses pengajaran dan pembelajaran akan berakhir pada jam 2 petang setiap hari. Kita juga terikat dengan masa dan aktiviti lain yang telah ditetapkan khususnya kokurikulum wajib. Namun ketika belajar di IPTA pula, kita sendiri yang berperanan menetapkan masa kuliah dan masa belajar sendiri. Kita merancang jadual aktiviti harian sendiri. Hal ini kerana setiap individu yang menuntut di IPTA sebenarnya sedang menjalani satu fasa atau proses yang menuntut kita untuk menilai sendiri sejauh mana kemampuan mengurus serta menguji tahap profesionalisme dalam membahagikan masa di antara akademik dengan kokurikulum.
Selain itu, cara belajar di IPTA juga menjadi aspek penting dan perlu mendapat perhatian setiap pelajar. Sungguhpun perkara pokok atau tujuan belajar di IPT adalah untuk mendengar kuliah, mengingat, membuat tugasan dan menduduki peperiksaan, namun kita harus ingat bahawa tanggungjawab kita sebenarnya bukan setakat itu sahaja. Kita perlu menyesuaikan diri dengan pelbagai aktiviti yang diadakan oleh pihak universiti. Melalui aktiviti kemahasiswaan umpamanya mampu mengubah jati diri yang lebih kondusif dan inovatif. Pelajar yang bergiat aktif dengan banyak aktiviti kemahasiswaan akan menjadi lebih yakin serta matang dari segi penampilan.
Perspektif tugasan adalah merupakan inti pati yang wajib ketika berada di IPT. Selain daripada memenuhi kuota kuliah, kita juga diamanahkan dengan pelbagai tugasan yang telah diberikan oleh para pensyarah. Ini kerana setiap tugasan yang diberikan adalah melibatkan markah sokongan subjek yang diambil. Ada tugasan yang bersifat tugasa individu. Tugasan ini menuntut kita lebih serius dan berdisipiln kerana tidak ada sebarang alternatif berkaitan mampu membantu sekiranya kita kurang mendisiplinkan diri dengan tugasan. Terdapat juga tugasan yang melibatkan kerja berkumpulan. Situasi seperti ini juga memerlukan kerjasama yang jitu daripada setiap individu yang berada di dalam kumpulan tersebut. Silap sedikit kita akan dipersalahkan dan dianggap tidak memberikan kerjasama. Pelbagai cabaran serta dugaan bakal kita hadapi ketika membuat tugasan baik secara individu mahupun berkumpulan. Hakikatnya kita perlu sedaya upaya untuk memberikan kerjasama dan mendisiplinkan diri di dalam setiap tugasan yang diamanahkan kerana setiap tugasan yang dilakukan akan disusuli dengan proses pembentangan yang mana menuntut keyakinan diri kita ketika berkomunikasi dengan audien. Kemahiran berinteraksi di hadapan umum menjadi persoalan utama kepada kita.
Justeru, anak-anak muda lepasan sekolah yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat IPT haruslah bijak memilih bidang serta institusi pengajian mengikut kesesuaian pasaran pekerjaan. Kesilapan memilih bidang pengkhususan akan menyebabkan kerugian bukan sahaja dari aspek masa malah juga aspek kewangan. Mana tidaknya, penat-penat kita belajar namun apabila tamat pengajian tidak mendapat pekerjaan di mana-mana. Hal ini harus diambil berat oleh setiap individu yang bakal bergelar pelajar IPT bak kata orang keputusan di tangan kita sebagai penentu segalanya.
No comments:
Post a Comment