Nick

Nick

Saturday, January 29, 2011

BAGAIMANA MENJADI PELAJAR CEMERLANG
Oleh: Nixckson Ningkan Gundi

Dewasa ini, banyak cara yang dapat kita lihat untuk bergelar seorang pelajar yang cemerlang. Bukan sahaja cemerlang dari segi akademik malah turut cemerlang dalam aspek kokurikulum. Kedua-dua aspek tersebut adalah sangat penting serta mempunyai peranan nilai tambah yang tersendiri. Bergelar sebagai seorang pelajar baik pelajar sekolah rendah mahupun menengah adalah sesuatu yang sangat mencabar. Hal ini kerana segala cabaran serta rintangan pastinya menjadi halangan utama bagi setiap pelajar. Namun demikian, untuk menjadi pelajar yang berjaya, semua cabaran harus dihadapi dengan semangat kental dan tabah.
Pelajar cemerlang sememangnya menjadi impian setiap individu, namun berapa ramaikah mereka yang berjaya mencapai impian tersebut? Adalah tidak menjadi masalah bagi mereka yang memiliki motivasi serta disipilin diri yang tinggi. Disiplin yang baik adalah antara sumber kepada kecemerlangan dalam pelajaran. Tanpa disiplin yang tinggi, sukar untuk mencapai sesebuah kejayaan kerana ironinya kejayaan tidak akan datang dengan mudah tanpa usaha yang jitu dalam diri pelajar itu sendiri.
Selain itu, minat juga merupakan faktor penyumbang kepada kejayaan seseorang pelajar. Tanpa minat yang mendalam terhadap pelajaran khususnya bagi mata pelajaran yang sukar maka kejayaan pasti sukar untuk dicapai. Minat memainkan peranan yang sangat penting dalam melahirkan pelajar cemerlang. Ramai dalam kalangan masyarakat sekarang khususnya mereka yang bergelar pelajar sekolah kurang mementingkan aspek minat dalam pelajaran. Secara jujurnya sesuatu tindakan atau perbuatan tidak akan berjaya tanpa minat. Sebagai contoh, apabila diberi tugas yang tidak pernah kita lakukan dan langsung kita tidak minat. Bagaimanakah reaksi anda terhadap tugas berkenaan dan sejauh manakah kualiti kerja tersebut? Sudah pasti kualitinya tidak memuaskan dan ada kalanya melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sesetengah pihak.
Sikap tidak malu bertanya juga antara cara terbaik yang harus ada pada setiap pelajar. Pepatah Melayu mengatakan “malu bertanya sesat jalan”. Melalui pengertian dalam pepatah tersebut jelas menyatakan bahawa pelajar yang malu bertanya dan hanya diam tidak akan mendapat banyak ilmu jika sekiranya mereka tidak berani. Senario masa kini menyaksikan pelajar yang aktif dan banyak bertanya  ketika di dalam kelas lebih berjaya dan tidak banyak masalah dalam pelajaran berbanding dengan mereka yang pasif dan pemalu.
Ramai dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa tidak sedar akan kepentingan riadah kepada anak-anak. Tanggapan bahawa riadah dan sukan umpamanya hanya membuang masa dan tidak penting adalah satu tanggapan yang salah. Pelajar yang tidak beriadah akan menjadi lemah daya fikiran kerana otak tidak cerdas. Sebagai seorang pelajar adalah memang membosankan sekiranya sentiasa berhadapan dengan buku-buku, nota serta tugasan sekolah. Fikiran mereka akan menjadi terhad untuk berfikir akan hal lain. Selaras dengan kemajuan negara masa kini maka pemikiran anak-anak haruslah didedahkan dengan dunia luar yang penuh dengan ilmu serta maklumat penting. Anak-anak juga perlu diberikan pendedahan terhadap pergaulan sosial dengan masyarakat.
Amalan serta pegangan hidup juga menjadi tanggungjawab penting bagi setiap pelajar untuk menjadi pelajar cemerlang. Amalan yang baik seperti menghormati ibu bapa, guru mahupun rakan-rakan tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa harus diamalkan. Pelajar yang memiliki disiplin yang tinggi akan lebih cenderung untuk mendapat sesebuah kejayaan berbanding dengan mereka yang tidak memilikinya.
Kesimpulanya, untuk menjadi pelajar cemerlang semestinya memerlukan disiplin yang tinggi di samping menuntut kita supaya mengamalkan nilai baik seperti menepati masa dan mahir dalam mengurus jadual peribadi tanpa mengharapkan orang lain. 

No comments:

Post a Comment