Nick

Nick

Friday, January 28, 2011

Jenayah Cetak Rompak: Punca, kesan, dan cara mengatasinya.

PENGENALAN
Jenayah cetak rompak sering kali kita dengar dan lihat melalui media massa mahupun media cetak. Tidak kira golongan mana yang acap kali terlibat dengan jenayah ini hakikatnya masyarakat kita pada masa kini secara tidak langsung telah terperangkap dengan jenayah cetak rompak. Hampir saban hari kita disajikan dengan berita-berita yang berkaitan dengan cetak rompak. Cetak rompak didefinisikan sebagai perbuatan menggunakan bahan yang dilindungi oleh undang-undang hakcipta tanpa kebenaran. Perbuatan seperti itu diklasifikasikan sebagai satu tindakan yang mencabul salah satu hak eksklusif pemilik hakcipta asli.
Cetak rompak juga dikenali sebagai perbuatan menerbitkan semula sebahagian atau kesemua hasil karya asli individu lain. Membuat salinan kepada pelbagai bentuk sama ada cara mengambil gambar, membuat salinan secara elektronik atau komputer, fotostat, rakaman video, rakaman suara, menaip semula atau diubah kepada bentuk PDF. Selain itu, cara menyalin kandungan dan menjual semula karya tersebut dengan tajuk lain yang berbeza juga dikenali sebagai cetak rompak. Dalam erti kata lain, cetak rompak bermaksud mengambil atau menggunakan hasil kerja orang lain dan menjadikannya sebagai hak milik sendiri. Kejadian seperti ini memang selalu terjadi tidak kira di peringkat bawahan, amatur malahan di peringkat professional pun kadangkala terjadi. Kesemua tindak seperti ini adalah dikategorikan sebagai perbuatan meniru atau mencetak rompak hakcipta pihak lain.
Kegiatan cetak rompak memang sukar untuk dihalang atau dielakkan kerana tidak ada lagi cara yang berkesan. Perbuatan mencetak laman web sebagai contoh adalah satu tindakan yang boleh memalukan diri sekiranya meniru atau merompak laman web yang yang sudah terkenal. Hakikatnya orang ramai sudah semestinya pandai menilai yang mana satu tulisan dan sebaliknya. Jika mengambil idea serba sedikit dan mengolahkanya untuk dijadikan hasil kerja sendiri adalah tidak mengapa, tetapi yang menjadi kesalahan ialah apabila idea itu diambil seratus peratus.




PUNCA BERLAKU JENAYAH CETAK ROMPAK

Dari perspektif undang-undang, cetak rompak juga membawa maksud aktiviti penyalinan, pengedaran dan penggunaan produk harta intelek secara haram tanpa izin pemegang hakcipta bagi harta intelek tersebut. Dalam erti kata lain individu tersebut telah menyalin semula hasil karya asli individu lain. Kegiatan cetak rompak adalah merupakan satu kesalahan menurut Akta Hakcipta 1987. Harta intelek bemaksud sebarang produk dan hasil dan hasil karya yang didaftarkan hakciptanya seperti buku, muzik, filem, siaran televisyen dan radio, perisian komputer serta reka bentuk industri. Secara keseluruhannya harta intelek dilindungi oleh Akta Hakcipta 1987.
Terdapat beberapa faktor yang dikenal pasti sebagai punca berlakunya jenayah cetak rompak dalam kalangan masyarakat pada masa kini. Antara faktor yang menyebabkan menularnya jenayah ini adalah kurangnya kesedaran dalam kalangan pengguna mengenai harta intelek. Masyarakat pengguna tidak menyedari akan kesan buruk yang bakal berlaku ekoran daripada perbuatan mencetak rompak. Dalam keghairahan mereka melakukan perbuatan tidak bermoral itu, terdapat individu lain mengalami penderitaan yang tidak terkira pedihnya. Individu yang dimaksudkan ialah pengkarya asli yang ditiru hasil karya mereka oleh individu tidak bertanggungjawab.
Selain itu, sikap tamak haloba dalam kalangan masyarakat khususnya pengusaha produk cetak rompak haram. Bagi pengusaha haram, kegiatan penjualan cetak rompak boleh mendatangkan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada mereka. Tambahan pula pengusaha haram ini juga menikmati ihsan barang tulennya dari segi publisiti dan iklan. Mereka juga dikecualikan untuk membayar royalti kepada pihak pereka atau pencipta asal. Oleh itu, mereka menikmati keuntungan yang besar walaupun mutu dan prestij barang sebenarnya sudah diketahui umum.
Di samping itu juga, kelonggaran penguatkuasaan undang-undang juga dikenali sebagai penyumbang kepada menularnya jenayah cetak rompak dalam kalangan masyarakat pada masa kini. Bukan sahaja kelonggaran sistem undang-undang sedia ada punca masalah ini malah ianya sedikit sebanyak berlaku akibat sikap masyarakat yang tidak mengambil peduli kesan buruk perbuatan mencetak rompak kepada individu lain. Walaupun beberapa dasar serta undang-undang telah digubal bagi membanteras masalah cetak rompak, namun terdapat segelintir masyarakat yang tidak memperdulikan larangan tersebut. Masih ramai individu yang tanpa segan silunya melakukan perbuatan keji itu walaupun menyedari akan kewujudan undang-undang keras daripada kerajaan.
Selain itu, cetak rompak juga berpunca daripada permintaan yang tinggi terhadap barangan cetak rompak. Walaupun para pengguna menyedari bahawa barangan cetak rompak tidak tulen, namun pengguna gemar untuk membeli ekoran daripada harganya yang murah berbanding dengan barangan yang asli. Di samping itu, hal ini dapat memenuhi cita rasa pengguna yang kurang mampu untuk membeli atau mendapatkan barangan asli. Bagi pihak pengguna sebagai contoh mereka lebih suka menggunakan barangan perisian komputer. Hal ini kerana barangan tersebut adalah sangat mahal di pasaran. Oleh yang demikian para pengguna lebih suka mendapatkan barangan tiruan atau cetak rompak kerana ianya lebih murah dan senang untuk didapatkan.
Kecanggihan sains dan teknologi juga merupakan punca mendorong berlakunya jenayah cetak rompak. Zaman moden ini, alatan berteknologi canggih membolehkan barangan tulen dihasilkan. Melalui peralatan yang canggih ini tanpa kita sedari peralatan tiruan dapat dihasilkan pada masa yang sama. Oleh itu, kita sukar untuk membezakan barangan yang tulen dengan barangan tiruan. Malah bukti barangan cetak rompak atau tiruan boleh dimusnahkan dengan wujudnya kecanggihan teknologi masa kini.
Selain itu, jenayah cetak rompak juga berlaku akibat daripada sikap masyarakat khususnya pengguna yang sentiasa menginginkan barangan yang murah tanpa mengambil kira barangan tersebut tulen atau palsu. Yang penting kepuasan kerana mampu memiliki barangan yang seakan-akan barang tulen. Di samping itu juga masyarakat pada masa kini lebih cenderung untuk tidak mengutamakan kualiti barangan yang dibeli. Yang penting kepuasan bersarang di minda mereka adalah sangat memadai. Hal ini menyebabkan berlakunya penularan jenayah cetak rompak kerana sikap serta tindakan masyarakat yeng sedemikian rupa menjadi pembakar semangat untuk para pengusaha cetak rompak meluaskan lagi aktiviti mereka. Peluang tersebut juga diaplikasikan oleh mereka untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda. Namun di sebalik keuntungan dan kesenangan yang diraih, tanpa mereka sedari ramai dalam kalangan individu lain yang tertindas akibat perbuatan tamak sesetengah pengusaha.

IMPAK/KESAN KEGIATAN CETAK ROMPAK

Kegiatan cetak rompak akan merugikan pihak pengeluar yang sah. Dalam erti kata lain pihak yang memiliki karya asli yang sah akan mengalami kerugian akibat daripada perbuatan tamak para pengusaha cetak rompak yang tidak pernah puas. Impak atau kesan negatif yang paling ketara dalam masalah ini ialah syarikat rakaman video dan lagu kaset yang sah. Segala usaha dan penat lelah mereka adalah sangat tidak berbaloi atau sia-sia. Segala usaha dan titik peluh mereka tidak mendatangkan sebarang keuntungan akibat daripada wujudnya jenayah cetak rompak. Di samping itu, sebagai contoh artis seni suara dan seni lakon tidak dapat menikmati hasil penat lelah mereka setelah bekerja keras untuk menghasilkan sebuah karya yang original atau tulen. Jika dilihat secara menyeluruh dari pelbagai aspek mahupun beberapa sudut pandangan, bukan pengeluar sahaja yang mengalami kerugian ekoran daripada cetak rompak malah pakar perisian komputer  juga turut mengalami kerugian yang sama.
Selain itu, kesan negatif yang bakal dialami ekoran daripada cetak rompak ialah aktiviti atau iklim pelaburan negara kita akan terjejas. Apabila masalah ini semakin berleluasa, para pengusaha teknologi maklumat tidak mahu melabur di negara kita lagi. Hal ini berlaku kerana kos pelaburan adalah sangat tinggi tetapi pulangan tidak meyakinkan. Lebih malang lagi kemungkinan para saintis juga tidak begitu giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan di negara kita amnya. Kebimbangan juga menghantui fikiran mereka berhubung karya atau hasil usaha mereka akan dicetak rompak dengan mudah.
Kesan negatif yang mungkin berlaku akibat daripada penularan jenayah cetak rompak di negara kita ialah mutu perfileman negara akan terjejas. Apabila perbuatan cetak rompak semakin berleluasa, maka mutu sektor yang berkaitan dengan cetak rompak akan turut tejejas. Hal ini kerana masalah daripada barangan cetak rompak akan menyebabkan barangan yang original akan menerima tempias yang sama apabila barangan cetak rompak mengalami kerosakan.
Turut menerima kesan yang sama ialah ekonomi negara akan terjejas ekoran daripada berlakunya jenayah cetak rompak. Hal ini dapat kerana masyarakat akan mengalihkan perhatian mereka untuk membeli barangan tiruan atau cetak rompak. Akibatnya barangan original tidak akan dipandang. Tuntasnya berlaku kerugian yang amat besar kepada ekonomi negara. Barangan cetak rompak pada amnya menyebabkan masyarakat di negara kita akan membeli barangan tersebut lantaran harganya yang murah. Hal ini menyebabkan negara kita mengalami kurangnya pendapatan ekoran daripada sikap pengusaha cetak rompak dan haram ini yang hanya mementingkan diri sendiri. Perbuatan tersebut juga akan turut menyebabkan kestabilan ekonomi negara tidak konsisten.

CARA MENGATASI
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa cara drastik yang boleh diambil bagi menangani maslaha ini. Antaranya ialah penguatkuasaan undang-undang. Usaha menangani cetak rompak juga boleh dilakukan dengan cara penguatkuasaan undang-undang oleh pihak kerajaan. Serbuan serta tangkapan yang kerap sebagai contohnya boleh dilakukan tanpa mengira musim. Jika kita lihat dari segi akta, akta Hak cipta 1987 dan akta perihal dagangan 1972 perlu dipinda agar penjenayah profesional ini menerima hukuman yang setimpal. Dengan cara sedemikian, mereka akan gentar untuk memulakan kegiatan ini. Mereka yang ditangkapa juga akan wujud sinar keinsafan di hati mereka.
Perubahan sikap masyarakat juga membantu dalam menangani masalah tersebut. Usaha menyekat gejala cetak rompak ini akan menjadi lebih berkesan seandainya wujud kesedaran dalam kalangan masyarakat sejagat khususnya anggota penguatkuasa. Mereka yang insaf dengan tanggungjawab dan amanah ini tidak akan mudah tewas dengan sebarang bentuk suapan atau rasuah serta pujuk rayu. Bagi memantapkan lagi sistem pentadbiran dan kualiti kerja anggota penguatkuasa maka sebarang bentuk kempen kesedaran wajar diadakan. Melalui kempen kesedaran seperti itu, penularan jenayah cetak rompak dalam kalangan masyarakat negara kita akan dapat dikurangkan.
Membina pusat cetak rompak dalam ngara kita juga dilihat suatu langkah yang paling wajar bagi membendung berleluasanya jenayah berkaitan cetak rompak yang dilihat semakin meruncing. Mencetak di dalam negara sendiri akan mengurangkan harga barangan tulen dan asli. Harga yang berpatutan akan menggalakan pembeli memilih barangan tulen berbanding dengan barangan tiruan. Kos yang tidak membebankan akan menyatakan mereka akan mengalami kerugian kerana harga yang rendah tidak mampu member keuntungan yang setimpal dengan pelaburan mereka. Tetapi dalam jangka masa yang panjang, langkah seperti ini tetap tidak akan merugikan. Hal ini demikian kerana jumlah penjualan akan meningkat dan pada masa yang sama keuntungan akan turut meningkat.
Melaksanakan hukuman penjara mandatori, mungkin ramai dalam kalangan masyarakat negara kita yang tidak bersetuju dengan cadangan hukuman tersebut. Namun hakikatnya langkah serta tindakan seperti ini adalah merupakan satu langkah yang paling sesuai bagi membendung penularan jenayah cetak rompak yang semakin menjadi-jadi dan merugikan banyak pihak. Langkah yang tegas ini adalah untuk membanteras gejala cetak rompak. Mana-mana individu yang ditangkap dan didakwa melakukan perbuatan tersebut akan dikenakan tindakan tersebut. Hal ini juga dilihat mampu membantu pihak kerajaan untuk menangani jenayah cetak rompak.

PENUTUP
Jenayah cetak rompak adalah sejenis perbuatan yang merugikan banyak pihak khususnya pihak yang memiliki hasil karya asal. Oleh yang demikian, semua pihak harus perlu terlibat sama dalam menangani jenayah cetak rompak daripada terus berleluasa dan parah saban hari. Jika masyarakat sejagat hanya mampu berpeluk tubuh dan tidak mengambil sebarang langkah maka perkembangan seni tanah air mahupun industri lain akan malap serta mengalami kerugian yang besar. Justeru, harapan kepada mereka yang melakukan dan terlibat dengan kegiatan cetak rompak agar berubah dan segera insaf akan kesalahan yang dilakukan kerana perbuatan serta tindakan seperti itu hanya merugikan pelbagai pihak dan negara khususnya. Sesungguhnya melakukan perbuatan mencetak rompak adalah satu tindakan yang amat keji dan dipandang hina oleh masyarakat.



1 comment: