Sebut sahaja pasal maut, pasti ramai dalam kalangan masyarakat yang takut. Namun sejauh manakah pengertian manusia terhadap istilah tersebut? Maut membawa pengertian yang sangat mendalam kepada setiap benda hidup di muka bumi ini khususnya manusia. Jika ditakdirkan manusia tidak akan mati sampai bila-bila, alangkah indahnya hidup tersebut. Walau bagaimanapun, dari segi logiknya tidak ada benda hidup yang akan kekal menghuni dunia sementara ini yang bergelar bumi. Menyentuh mengenai hidup di muka bumi ini, ramai dlam kalangan pihak yang tidak tahu apakah tanggungjawab besar yang harus dipikul oleh setiap benda hidup terutamanya manusia? Logiknya manusia harus menjaga serta memastikan tubuh badan mereka selamat dari pelbagai ancaman bahaya dan penyakit. Mutakhir ini manusia semakin kurang mengutamakan aspek kesihatan dan keselamatan tubuh badan dengan perbuatan merokok.
Merokok adalah satu perbuatan yang boleh diklasifikasikan sebagai tindakan tidak waras manusia. Hal ini kerana ramai dalam kalangan individu yang merokok hilang sikap hormat-menghormati. Mereka tanpa segan silu menyedut dan menghembuskan asap rokok di khalayak umum. Kesan negatif serta sakit penyakit hasil daripada rokok tersebut dikongsikan bersama dengan manusia yang tidak berdosa. Sebagai hamba Allah yang diberikan akal dan fikiran, mana-mana agama melarang penganutnya untuk melakukan sesuatu perbuatan yang boleh mengancam nyawa serta menjejaskan kesihatan. Hakikatnya, setiap benda yang dimasukkan ke dalam badan hendaklah sesuatu yang baik, suci dan selamat untuk kesihatan agar keselamatan fizikal, rohani dan emosi kita terjamin.
Merokok juga merupakan perbuatan yang pastinya mengundang maut kepada kehidupan seseorang. Dengan menyedut dan menghembus asap rokok sahaja ianya umpama menggali lubang kubur sendiri. Setiap bahan kimia yang terdapat di dalam rokok tersebut akan mengancam nyawa individu yang merokok. Perbuatan tersebut sekali gus membinasakan hidup manusia yang berada di sekeliling.
Seorang yang mula merokok akan mengalami kemungkinan sebanyak 70% untuk ketagih. Tindakan tersebut juga akan menyebabkan si perokok mengalami risiko mati lebih awal berbanding mereka yang tidak merokok. Pada kebiasaannya, seseorang yang kehabisan rokok akan merasa rimas dan gelisah serta berkelakuan seperti orang yang tidak normal seperti mengalami gangguan mental akibat daripada ketagihan yang melampau. Tabiat merokok sebenarnya telah menghancurkan etika serta amalan hidup bermasyarakat. Keindahan hidup bermasyarakat akan hilang apabila masyarakat tidak lagi meletakkan rasa peduli, hormat dan prihatin terhadap orang lain. Terdapat segelintir masyarakat memberitahu bahawa mereka akan menjadi tidak sihat sekiranya berhenti daripada merokok.
Selaras dengan pembangunan dunia yang semakin pesat membangun, penggunaan tembakau semakin meningkat di kebanyakan negara yang sedang membangun. Rokok dipandang masyarakat sebagai sesuatu yang melambangkan kemewahan serta kekayaan hidup di samping kekuasaan. Secara tidak langsung tanggapan jumud serta jahil ini telah meracuni pemikiran generasi muda yang cetek pemikirannya khususnya golongan remaja yang terdiri daripada pelajar sekolah. Mereka mudah terpengaruh dan terpedaya dengan budaya barat sehingga sanggup bergaya seperti golongan berada untuk mengecapi status keunggulan serta kemodenan.
Terdapat beberapa kesan negatif bakal dihadapi oleh golongan perokok berstatus tegar. Antaranya ialah sakit jantung, barah paru-paru, lelah, lumpuh, dan sebagainya. Dari segi kecergasan, sememangnya goloangan perokok akan mudah berasa penat dan kelihatan tidak cergas. Lebih menyedihkan lagi apabila golongan perokok itu sudah berumah tangga, kesan sampingan yang negatif juga turut dihadapi oleh isteri dan anak yang bakal dilahirkan. Si isteri akan mengalami risiko melahirkan anak yang tidak cukup umur manakala bagi bayi yang dilahirkan akan mengalami berat badan yang kurang serta risiko terdedah kepada penyakit. Bayi akan mudah dijangkiti penyaki seperti asma, jangkitan paru-paru dan yang paling menyedihkan anak tersebut akan meniru sikap bapanya yang memiliki tabiat merokok. Terdapat sesetengah perokok yang sengaja merokok di tempat-tempat awam sehingga menyebabkan asap rokok yang mereka hembus menjejaskan kesihatan orang lain. Akibatnya, orang lain yang tidak merokok juga terdedah kepada bahaya penyakit kronik secara senyap.
Tabiat merokok pada dasarnya berpunca daripada banyak sebab. Antaranya ialah faktor persekitaran, pengaruh rakan sebaya serta kurang bimbingan dan didikan ibu bapa. Walaupun kita sedar bahawa banyak cabaran dan halangan terpakasa ditempuhi dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berdisiplin dan tidak merokok, namun ianya adalah satu tanggungjawab penting dan wajib yang harus kita ambil berat. Usaha murni yang berterusan dalam membimbing anak-anak akan membuahkan satu kejayaan yang membanggakan kelak.
Jelaslah disini bahawa peranan ibu bapa adalah sangat penting dalam memantau segala kegiatan anak-anak pada setiap masa agar mereka tidak terjebak dengan gejala sosial yang tidak sihat seperti merokok dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment